Isu penjual ISD : Astro puji tindakan tegas perangi cetak rompak | DagangNews Skip to main content

Isu penjual ISD : Astro puji tindakan tegas perangi cetak rompak

Keputusan yang dicapai pihak Mahkamah Tinggi hari ini merupakan susulan daripada kes-kes aktiviti jenayah yang dikenakan ke atas penjual ISD sebelum ini. - Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Keputusan yang dimuktamadkan Mahkamah Tinggi Harta Intelek berhubung isu penjual peralatan perisian penstriman haram (ISD) disifatkan penggiat industri media dan hiburan sebagai langkah berani dalam memerangi jenayah cetak rompak digital di Malaysia. 

 

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang memutuskan bahawa sebarang penjualan Kotak TV media yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta adalah haram dan boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987.

 

Baru-baru ini Measat Broadcast Networks Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan untuk Astro, membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Harta Intelek ekoran tindakan penjual ISD yang menyediakan aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah atau di laman kandungan penstriman haram.

 

Sehubungan itu, Pengarah Kawal Selia Astro, Laila Saat menyifatkan keputusan tersebut adalah setimpal dengan kesalahan pelanggaran hakcipta, sekali gus menjadi penanda aras kepada mana-mana tindakan sivil yang ingin di ambil ke atas penjual ISD haram pada masa hadapan, termasuklah mereka yang berada di platform e-dagang. 

 

Malah, katanya, pengisytiharan itu buat julung kalinya akan mengukuhkan lagi perlindungan harta intelek di negara ini dan usaha berterusan setiap pihak dalam membendung jenayah cetak rompak adalah penting bagi memastikan pelaburan jangka masa panjang dan kewujudan peluang pekerjaan dalam industri media dan hiburan tanah air akan terus berlangsung. 

 

"Kami akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan-rakan penyedia kandungan dalam menyampaikan mesej yang tegas bahawa cetak rompak adalah mencuri, haram dan boleh dikenakan tindakan undang-undang," tegas beliau dalam kenyataan hari ini. 

 

 

astro
Measat Broadcast Networks Sdn. Bhd., penyedia perkhidmatan untuk Astro baru-baru ini membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Harta Intelek ekoran tindakan penjual ISD yang menyediakan aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah. 
​​​​​

 

 

Kerugian besar

 


Kerugian tahunan yang disebabkan kegiatan cetak rompak digital ini dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan tanah air. 

 

Ia juga melibatkan kehilangan sehingga RM500 juta cukai pendapatan dan mengakibatkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.

 

Keputusan yang dibuat pihak Mahkamah Tinggi hari ini merupakan susulan daripada kes-kes aktiviti jenayah yang dikenakan ke atas penjual ISD sebelum ini. 

 

Pada 8 Februari lalu, seorang pengarah di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam di bawah Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi. 

 

Kemudiannya, pada 16 Februari pula, seorang pengarah wanita yang memilik syarikat aksesori telefon mengaku bersalah di atas pertuduhan memiliki beberapa unit Kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah. 

 

Tertuduh didenda sebanyak RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan beliau sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual ISD.

 

Menerusi kenyataan hari ini, pemain industri memberi maklum balas positif terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Harta Intelek itu. 

 

Ketua Pegawai Kawal Selia, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd. Yassin berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan yang dibuat mahkamah, yang mana ia mampu memperkukuhkan lagi aspek perundangan dalam melindungi mana-mana kes pelanggaran hakcipta dan membantu memerangi cetak rompak, terutamanya di segmen digital dan rangkaian atas talian.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, perbuatan haram ini telah menyebabkan kerugian pendapatan yang amat besar ke atas industri kreatif tempatan saban tahun.

 

"Oleh itu, Finas menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak, dengan sokongan tanpa berbelah bahagi dan penglibatan secara langsung banyak pihak terutama agensi penguatkuasaan undang-undang untuk terus memperkasakan dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat-syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan di bawah Akta FINAS 244 1981," katanya. 

 

isd
Kerugian tahunan yang disebabkan kegiatan cetak rompak digital ini dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada industri media dan hiburan tanah air.

 

 

Mencuri tetap salah

 

Timbalan Ketua Pengarah Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO), Zulkarnain Muhammad berkata, penggunaan yang kerap dan meluas ISD menyebabkan kerugian yang sangat besar kepada ekonomi berbanding dari cetak rompak hakcipta secara fizikal. 

 

Beliau berkata, peranti tersebut merupakan sebahagian daripada rangkaian cetak rompak hakcipta dalam talian yang lebih luas, yang dalam jangka masa panjang akanmembantutkan semangat para pencipta kandungan asal untuk melahirkan lebih banyak karyakarya kreatif. 

 

"Perbuatan cetak rompak hakcipta dalam apa jua bentuk pun perlu dibendung dan dihalang semua pihak," tegas beliau.

 

Nada yang sama disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Video Industry Association (AVIA), Louis Boswell,
yang mana beliau menyifatkan keputusan tersebut merupakan tindakan terbaik yang diambil memandangkan karya-karya dan kandungan yang dihasilkan bukanlah percuma, dan para pencipta dan pengedar mempunyai hak sepenuhnya untuk mengenakan bayaran ke atasnya. 

 

"Untuk menidakkan hal ini dan mengambilnya dianggap sebagai mencuri, dan saya nampak perbezaan yang sangat sedikit di antara pencuri barang-barang fizikal dengan mereka yang mencuri menerusi aktiviti penstriman video. 

 

"Sebagai sebahagian dari masyarakat, kita semua perlu akui yang aktiviti mencuri tetap menjadi kesalahan dan tindakan yang diambil hari ini menunjukkan bahawa kita memandang serius akan perkara ini dan berada di landasan yang betul," ujarnya.

 

Turut mengulas mengenai perkara ini, Pengarah Khidmat Perundangan Liga Premier, Kevin Plumb yang berpendapat, tindakan yang diambil itu amat penting dan memberi satu mesej yang cukup kuat bahawa penjualan ISD yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta adalah salah dan ia kini termaktub
dalam pelanggaran hakcipta. 

 

"Kami di Liga Premier sentiasa komited dalam mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat menyediakan akses haram kepada kandungan Liga Premier. 

 

"Pada masa sama, kami juga sentiasa meningkatkan kesedaran akan risiko yang akan dihadapi peminat jika menonton kandungan kami dari sumber-sumber yang tidak memiliki kebenaran yang sah. 

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan Astro dan pihak berwajib tempatan sebagai usaha untuk turut sama menjayakan program-program anti cetak rompak di Malaysia," kata beliau. - DagangNews.com