Isu sekatan CBP AS akan terus beri tekanan kepada Supermax, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Isu sekatan CBP AS akan terus beri tekanan kepada Supermax, kata penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Supermax Corp. Bhd. dilihat terus bergelut untuk mengekalkan prestasi kewangannya yang baik di sebalik beberapa isu yang masih melingkari prospek kumpulan. 

 

Ini berdasarkan kepada prestasi suku pertamanya berakhir 30 September 2021 menyusut kepada RM638.52 juta daripada RM789.52 juta disebabkan ASP sarung tangan getah yang lebih rendah.

 

Menurut syarikat itu, persaingan dalam industri sarung tangan getah melonjak dengan ketara berikutan pengembangan kapasiti yang besar di seluruh industri selepas pengeluar sedia ada dan baharu meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka. 

 

Pendapatan bagi suku berkenaan, bagaimanapun, naik 7.6% kepada RM1.45 bilion berbanding suku yang sama tahun sebelumnya berikutan permintaan global yang berterusan terhadap sarung tangan perubatan serta peralatan perlindungan diri (PPE) lain di tengah-tengah pandemik COVID-19.

 

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, sekatan perintah tahan pelepasan (WRO) yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) sejak 21 Oktober lalu dijangka memberi kesan kepada kumpulan pada suku akan datang. 

 

"Berdasarkan semakan kami, kebiasaannya keuntungan direalisasikan daripada eksport ke AS dari Malaysia mengambil masa antara 4 hingga 5 bulan. 

 

"Ini mengambil kira antara 2 hingga 3 bulan untuk proses penghantaran, sebulan menjalankan semakan produk oleh kastam dan sebulan untuk pengedaran. 

 

"Dengan sekatan serta-merta dikenakan itu, kami menjangkakan Supermax akan mengalihkan stoknya untuk pasaran AS ke negara lain, justeru, kesan ke atas pendapatan sepatutnya berlaku sebelum separuh pertama tahun kewangan 2022 (FY22)," katanya hari ini. 

 

Ia juga berpendapat langkah kerajaan Kanada yang menangguhkan import produk Supermax atas sebab yang sama juga bukanlah sesuatu yang membimbangkan.

 

Pengurusan sebelum ini menyatakan hanya import daripada pembekal Malaysia yang akan terkesan dengan sekatan berkenaan.

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, ia tidak memberi begitu banyak kesan kepada kewangan memandangkan hanya terdapat satu kilang yang berpangkalan di Malaysia di bawah Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd.," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu menaik taraf penarafan Supermax kepada 'neutral' berbanding 'trading sell' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.67. 

 

"Susulan terdapat pembetulan kepada harga sahamnya baru-baru ini, kami percaya kejutan daripada sekatan CBP ini telah diambil kira, justeru kami mengekalkan TP ini. Hasil dividen pula dianggarkan pada 3.74%," tambahnya. 

 

MIDF Research turut menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY22 sebanyak 3% dengan mengambil kira pelaksanaan Cukai Makmur yang dianggar memberi kos tambahan sebanyak RM34.1 juta kepada Supermax. 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon berkata, di sebalik penurunan ASP, pengeluar sarung tangan getah itu berdepan dengan sekatan CBP yang dijangka menjejaskan kira-kira 20% daripada jualannya.

 

Impak ini bagaimanapun, katanya, bergantung kepada sejauh mana Supermax mampu menggantikan kerugian yang dialami dalam pasaran AS dan berapa lama masa diperlukan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

 

"Perlu diingatkan, Top Glove Corp. Bhd mengambil masa hampir setahun supaya sekatan ini dapat ditarik balik," katanya. 

 

Namun, Kenanga Research masih mengekalan penarafan 'market perform' terhadap Supermax, sebaliknya mengurangkan TP kepada RM1.95 berbanding RM2.15 sebelum itu selepas merendahkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 10 kali daripada 11 kali sebelumnya disebabkan risiko penurunan daripada kesan CBP AS.

 

Bagi isu Kanada pula, Ping Khoon berkata, kumpulan telah menyatakan hanya eksport sarung tangan getah ditangguhkan sementara menanti laporan audit daripada juruaudit bebas, yang dijangka dikemukakan bila-bila masa dalam minggu keempat bulan ini.

 

Pasaran Kanada menyumbang hampir 9% kepada jumlah pasaran kumpulan dan penguasaan pasaran berubah-ubah berdasarkan tender yang diperoleh setiap tahun.

 

Beliau juga tidak dapat menganggarkan sejauh mana ASP akan terus menurun, meskipun, syarikat pengeluar sarung tangan getah membayangkan ia tidak mungkin jatuh ke paras sebelum pandemik dengan mengambil kira kos struktur yang semakin meningkat termasuk kos pematuhan sosial dan bahan mentah nitril yang tinggi. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw turut menjangkakan Supermax akan berdepan hasil yang lemah dalam tempoh terdekat disebabkan impak negatif daripada WRO yang akan menjejaskan 20% jualannya.

 

"Dengan mengambil kira faktor ini beserta Cukai Makmur dan penurunan ASP, kami mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada FY22 hingga FY24 antara 12.2 hingga 16.5%. 

 

"Pada ASP rendah, Supermax terpaksa menjual produknya ke pasaran yang kurang membangun disebabkan sekatan dikenakan CBP AS ini," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'pegang' ke atas Supermax dengan TP disemak rendah kepada RM1.86 berbanding RM2.16. 

 

Setakat 10.16 pagi ini, harga saham Supermax susut 2 sen atau 1.1% kepada RM1.80 dengan 4.93 juta saham diniagakan. - DagangNews.com