Isu SPV: Setiap negara perlukan model berbeza - Nokia | DagangNews Skip to main content

Isu SPV: Setiap negara perlukan model berbeza - Nokia

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Setiap negara memerlukan model pembangunan teknologi dan rangkaian 5G yang berbeza mengikut keutamaan dan cabaran masing-masing.

 

Secara umumnya, Ketua Asia Tenggara di Nokia, Daniel Jaegar menekankan bahawa pemilihan model itu perlu bersesuaian dan khusus bagi memastikan pembangunan teknologi 5G mencapai matlamat diingini.

 

“Sebagai contoh, Malaysia tidak sama dengan Mexico dan terdapat banyak kaedah berbeza untuk melaksanakannya (model pembangunan 5G) bagi memberi manfaat kepada perkembangan rangkaian itu.

 

Daniel Jaegar
Daniel Jaegar

 

“Jika saya melihat rujukan daripada lebih 130 negara di mana Nokia beroperasi, banyak model yang berbeza di mana memerlukan (peranan) pengendali rangkaian dan ada juga kerajaan yang membina rangkaian tersebut dan dikongsikan oleh pengendali rangkaian.

 

“Terdapat banyak pilihan dan apa yang sangat menarik adalah untuk melihat bagaimana model-model ini dibangunkan bersama-sama bagi mencapai hasil yang tepat,” katanya dalam satu taklimat media secara maya hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai langkah Malaysia untuk menggunakan entiti tunggal iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) yang ditubuhkan untuk mengendalikan perkhidmatan rangkaian borong 5G di negara ini. 

 

Pelaksanaan model berkenaan mencetuskan kebimbangan dan persoalan daripada pelbagai pihak dan ada yang menyifatkan rancangan kerajaan untuk membina infrastruktur 5G berjumlah RM15 bilion menerusi sebuah entiti khusus (SPV) bakal mewujudkan pelbagai risiko.

 

Bagaimanapun, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) telah memberi jaminan akan memantau SPV melalui instrumen kawal selia yang relevan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

 

Pelaksanaan rangkaian 5G merupakan antara tunjang utama di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari lalu. 

 

Baca : Jangan jadikan SPV 5G satu kesilapan

 

Inisiatif ini dijangka meletakkan Malaysia sebagai salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar.

 

Senada hasrat itu, Jaegar tidak menafikan teknologi dan rangkaian 5G akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya dari segi digital, seiring visi Malaysia 5.0.

 

Ini antaranya menyumbang kepada perkembangan industri revolusi keempat (IR4) serta aspek-aspek lain yang tidak dapat diteroka tanpa 5G. 

 

“5G merupakan satu cara untuk membawa evolusi berbanding 4G dan kelebihan khusus yang akan memanfaatkan Malaysia sudah tentu membawa keterhubungan di dalam negara. 

 

“Terutamanya, dalam IR4, 5G dapat dimanfaatkan dalam import, rantaian kilang dan sistem penjagaan kesihatan yang akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya lanjut. 

 

Kata Jaeger, Nokia juga secara aktif terlibat dalam pasukan petugas khas bersama-sama SKMM pada tahun 2019 dan 2020 bagi membantu untuk membuat penilaian ke atas kerangka kerja, pengurusan spektrum dan keperluan peruntukan 5G di Malaysia. - DagangNews.com