Isuzu kekal jenama trak dan trak tugas ringan No.1 di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Isuzu kekal jenama trak dan trak tugas ringan No.1 di Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Feb – Isuzu Malaysia Sdn Bhd hari ini mengumumkan bahawa ia sekali lagi berjaya mengekalkan dua pencapaian terbaik iaitu trak paling laris di Malaysia untuk 8 tahun berturut-turut dan juga trak tugas ringan paling laris selama 12 tahun.

 

Pencapaian itu dibuktikan menerusi gabungan jumlah jualan sebanyak 4,808 unit trak dalam semua segmen dan 4,545 unit trak tugas ringan yang direkodkan sepanjang tahun 2021.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Koji Nakamura berkata, pencapaian ini menunjukkan pertumbuhan berterusan dan memberangsangkan jenama Isuzu di Malaysia.

 

‘’Di samping membuktikan kemampuan kami untuk memanfaatkan peluang yang ada, serta mengatasi segala cabaran dalam pasaran yang terjejas teruk akibat pandemik.

 

''Ia juga cukup signifikan kerana pandemik telah menyebabkan gangguan bekalan seperti kekurangan bahan mentah yang memberi impak kepada produksi industri trak,” katanya.

 

Isuzu Malaysia turut berkongsi satu lagi faktor penting yang secara signifikannya menyumbang kepada kejayaan menguasai pasaran iaitu rangkaian pengedar yang ekstensif di seluruh negara.


 

Koji Nakamura
                                                  Koji Nakamura

 

 

Komunikasi yang berterusan di antara ibu pejabat dengan semua rakan pengedar nyata membentuk satu hubungan yang kukuh, sekali gus membolehkan Isuzu Malaysia memahami sepenuhnya pasaran dan menawarkan apa yang dimahukan oleh para pelanggan. \

 

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Atsunori Murata berkata, para pengedar mempunyai hubungan yang rapat dengan pelanggan.

 

''Ini membolehkan kami mendapatkan maklum balas tentang situasi perniagaan pelanggan serta keperluan terhadap penyelesaian industri trak.

 

''Dengan maklumat pasaran yang penting ini, pasukan jualan dan selepas jualan kami dapat mengenal pasti apakah jurang dan tugas yang perlu dilaksanakan untuk mengekalkan kekuatan operasi demi manfaat pelanggan,” katanya.  

 

Menurut Murata, sebelum pandemik berlaku, pasukan pengurusan Isuzu Malaysia sentiasa membuat lawatan untuk berjumpa dengan para pengedar, rakan perniagaan seperti pembuat badan trak, pengangkut serta pelanggannya.

 

Namun, pendekatan tersebut terpaksa diubah dengan mengoptimumkan platform komunikasi digital, terutama dari segi pemasaran seperti menghasilkan video-video di YouTube dan Facebook, menghantar SMS serta mengadakan mesyuarat menerusi perkhidmatan Google dan Microsoft. Semua ini dilakukan bagi memastikan hubungan sedia ada terus kukuh dan promosi produk-produk serta perkhidmatan baharu Isuzu dapat difahami dengan lebih baik.

 

 

Atsunori Murata
         Atsunori Murata

 

 

Dalam dua tahun kebelakangan ini, Isuzu Malaysia telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik seperti bekerjasama dengan pengedar-pengedar dan membuka pusat baharu.

 

Selain memperkenalkan inovasi produk baharu iaitu rangkaian model ELF dengan ciri Safety Plus yang menawarkan lebih kecekapan dan keselamatan, selain penghantaran trak tepat pada masanya kepada pelanggan.

 

Syarikat memberitahu semua pendekatan ini membantu memenuhi keperluan pelanggan dan meningkatkan kepuasan mereka melalui jangkauan pasaran serta servis berkualiti. Ini sememangnya penting dalam mengekalkan penguasaan pasaran dan jualan trak yang memberangsangkan.

 

“Kami berbesar hati kerana jenama Isuzu terus mendapat permintaan yang tinggi kerana semakin ramai pelanggan mula menikmati prestasi serta keselesaan trak kami.

 

‘’Sejak rangkaian trak EF baharu dengan Isuzu Safety Plus yang menggabungkan naik taraf sistem keselamatan dan boleh menggunakan minyak biodiesel B20 diperkenalkan dua tahun lalu, pelanggan kami dapat menggunakan trak yang lebih cekap dan selamat,” kongsi Murata. 

 

“Secara keseluruhannya, Isuzu Malaysia sangat berbesar hati untuk berkongsi kejayaan ini dengan semua rangkaian pengedar dan kakitangannya. Ini kerana tanpa kesungguhan, dedikasi dan kerjasama luar biasa mereka terhadap jenama ini, usaha untuk menjadi peneraju pasaran dari tahun ke tahun bukanlah sesuatu yang mudah.

 

“Kami juga amat berterima kasih kepada semua pelanggan. Kami akan terus fokus untuk menawarkan lebih nilai melalui rangkaian produk dan perkhidmatan terbaik bagi menyokong keperluan trak mereka yang berbeza,” kata Murata.  – DagangNews.com