KUALA LUMPUR 4 Jun - Pembekal sistem dan rumusan bandar pintar ITMAX System Bhd dilantik oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai pengendali tempat letak kereta pintar di Iskandar Puteri, Johor, untuk tempoh 15 tahun.
Kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, Southmax Sdn Bhd telah memperoleh surat pelantikan (LOA) bagi membangun, mengurus dan menyelenggara 32,025 petak letak kereta di dalam kawasan MBIP bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Mei 2039.
Kumpulan itu tidak memberikan sebarang nilai untuk kontrak itu tetapi mendedahkan bahawa LOA adalah berdasarkan model perkongsian hasil, di mana Southmax akan menerima 70% daripada hasil manakala baki 30% akan disalurkan kepada MBIP.
Ia menjelaskan bahawa orang ramai akan membuat bayaran tambah nilai tunai melalui aplikasi Parkmax@JOHOR milik kumpulan itu sendiri.
Southmax perlu membayar 30% daripada jumlah kutipan kepada MBIP termasuk penggunaan tempat letak kereta untuk pas setiap jam, harian, bulanan, bermusim dan sewa lot sementara serta 30% daripada kutipan kompaun tempat letak kereta.
Southmax juga dikehendaki menyediakan deposit keselamatan emolumen kakitangan dan anggaran hasil tempat letak kereta di MBIP selama enam bulan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System, William Tan Wei Lun berkata, kontrak itu menandakan pencapaian penting kumpulan yang mewakili satu kejayaan daripada penawaran perkhidmatan semasa dalam perniagaan teras pengurusan bandar pintar.
Katanya, sinergi strategik wujud antara sistem tempat letak kereta pintar ITMAX dan sistem pengawasan videonya.
"Kami akan meningkatkan lagi sistem dan aplikasi dengan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan operasi tempat letak kereta.
"Hasil yang dijana daripada sistem tempat letak kereta pintar akan memberikan pendapatan berulang tambahan untuk kumpulan.
"Kami melihat peluang yang besar dan yakin untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke bandar lain,” katanya.- DagangNews.com