IWH-CREC selesaikan pembayaran RM1.24 bilion kepada kerajaan | DagangNews Skip to main content

IWH-CREC selesaikan pembayaran RM1.24 bilion kepada kerajaan

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Bandar Malaysia, projek pembangunan bandar tunggal terbesar di rantau ini, kini sedia dilancarkan dengan penyelesaian bayaran sebanyak RM1.24 bilion kepada Kerajaan Persekutuan oleh IWH-CREC Sdn Bhd.

Sebanuak RM1.24 bilion telah dibayar oleh IWH-CREC, melalui perjanjian jualan saham dinilai semula dan perjanjian pemegang saham, termasuk deposit 10 peratus dan bayaran pendahuluan RM500 juta kepada TRX City Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Di bawah perjanjian, IWH-CREC akan memiliki 60% pegangan dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd, pemaju utama projek itu, daripada TRX City, dengan baki 40% lagi dipegang oleh TRX City.

IWH-CREC ialah satu usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan syarikat milik kerajaan China, China Railway Engineering Corporation (CREC).

Kerajaan Negeri Johor juga mempunyai kepentingan melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), yang memiliki 37% pegangan dalam IWH.
 

aaa


IWH diketuai oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif Tan Sri Lim Kang Hoo dan Pengerusi CREC Malaysia Chen ZhiGong menyerahkan sekeping cek RM1.24 bilion kepada TRX City Sdn Bhd yang diwakili Datuk Asri Hamidon, sambil disaksikan Menteri Kewangan Datuk Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Bai Tian dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad. Pengarah Eksekutif Kumpulan IWH Lim Chen Herng, bersama-sama dengan barisan tetamu kehormat antara yang hadir menyaksikan majlis di sini semalam.

Ini menandakan pelaksanaan penuh tanggungjawab berkontrak awal secara rasminya oleh IWH-CREC kepada pihak kerajaan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan Bandar Malaysia.

Tan Sri Lim berkata kemampuan IWH-CREC untuk menunaikan komitmennya kepada Kerajaan Persekutuan walaupun berdepan pandemik COVID-19 dengan impak buruk terhadap ekonomi, adalah bukti keyakinan rakan-rakan JV terhadap projek Bandar Malaysia.

“Ini juga amat signifikan kerana ia menunjukkan bahawa pelabur-pelabur asing masih optimistik dan yakin terhadap Malaysia dan ekonominya,” katanya dengan menambah bahawa Bandar Malaysia akan berperanan sebagai satu bandar pintar baharu untuk menarik syarikat-syarikat kewangan global berimpak tinggi, teknologi dan keusahawanan.

Pandangan ini turut dikongsi Chen ZhiGong yang berkata Bandar Malaysia ialah satu testimoni hubungan dua hala yang kukuh dan jangka panjang serta manfaat ekonomi yang akan dikongsi rakyat di Malaysia dan China.

“Saya amat yakin Bandar Malaysia akan memberi impak besar ke atas ekonomi Malaysia apabila berperanan sebagai satu hab untuk menarik lebih banyak syarikat multinasional (MNC) global berimpak tinggi,” katanya.

IWH-CREC akan menjemput kumpulan pelabur tempatan dan asing yang berkelayakan, pemaju-pemaju, konsultan dan kontraktor untuk menyerahkan proposal masing-masing bagi mengambil bahagian dalam projek pembangunan ini.

Akan ada peluang baik untuk penyertaan syarikat Malaysia dan Bumiputera, sambil memberi keutamaan kepada penggunaan bahan-bahan binaan di Malaysia, teknologi serta tenaga kepakaran tempatan.

Bandar Malaysia akan menjadi rumah kepada cadangan Express Rail Link (ERL), KTM, Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan 3 dan laluan kereta api ERL sedia ada yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan hab pengangkutan Stesen Sentral Kuala Lumpur. Projek MRT2 sudah menempatkan dua stesen di Bandar Malaysia yang dijadualkan siap menjelang 2021, serta laluan Setiawangsa – Pantai Expressway (SPE) yang pernah dikenali sebagai DUKE 3 dijangka siap menjelang 2021, laluan menghubungkan 12 lebuh raya lain ke bandar KL, akan mempunyai jaringan dengan Bandar Malaysia.
 

aaa


Pembangunan yang mengambil masa lebih 20 tahun ini bakal menyaksikan Bandar Malaysia membentuk hala tuju masa depan Kuala Lumpur dengan menawarkan satu suasana gaya hidup urban baharu bersama infrastruktur moden supaya menjadi satu pembangunan ikon dalam rantau ASEAN.

Selain menawarkan premis pejabat Kelas A, ia juga merangkumi beberapa komponen utama lain seperti hotel, pusat beli-belah, penjagaan kesihatan, pendidikan dan fasiliti kesejahteraan.

Terdapat sebanyak 10,000 unit rumah mampu milik dalam Bandar Malaysia untuk memberi manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana-rendah.

Projek pembangunan bersepadu RM140 bilion ini akan menempatkan beberapa komponen campuran merangkumi kewangan, teknologi, sains perubatan, pendidikan, pelancongan dan keusahawanan serta berperanan sebagai satu Bandar Pintar.

Ia direka untuk menarik firma-firma perbadanan multinasional dan syarikat-syarikat Fortune 500 dan 100 institusi kewangan utama untuk memindahkan operasi ke sini. Ini akan menambah peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta mengurangkan masalah perhijrahan cendekiawan di negara ini.

Selari dengan dasar kerajaan menawarkan insentif cukai khas untuk pelbagai sektor ekonomi yang layak dengan tujuan menarik lebih banyak MNC ke Malaysia bagi melabur dalam bidang teknologi tinggi dan nilai tinggi.

Projek ini juga dijangka membantu menyelesaikan masalah lebihan ruang pejabat di Lembah Klang dan kediaman penduduk pada kadar lebih pantas kerana ia dijangka didiami syarikat-syarikat asing dengan tenaga kerja mahir serta kumpulan ekspatriat. - DagangNews.com