Jabatan kastam AS sedang kaji ‘hujah’ Top Glove | DagangNews Skip to main content

Jabatan kastam AS sedang kaji ‘hujah’ Top Glove

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Syarikat sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad memberitahu bahawa Jabatan Kastam dan Perlindungan (CBP) Amerika Syarikat (AS) sedang mengkaji penjelasan kumpulan itu berhubung rampasan produknya. 

 

“CBP AS ketika ini sedang mengkaji penyerahan kami memandangkan syarikat telah menyelesaikan 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

 

“Resolusi syarikat ke atas 11 petunjuk ILO bagi buruh paksa itu telah disahkan oleh perunding bebas antarabangsa di United Kingdom (UK), Impactt Ltd, menerusi laporannya bertarikh 22 April 2021,” jelas Top Glove dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Sebelum itu, CBP melaporkan bahawa jabatan itu telah merampas sebanyak 3.97 juta sarung tangan nitril pakai buang yang dikeluarkan kumpulan, bernilai AS$518,000 di Pelabuhan Cleveland, Ohio. 

 

Baca : Hampir 4 juta sarung tangan Top Glove dirampas di AS

 

Ini berikutan terdapat maklumat yang mendakwa produk itu dikeluarkan menggunakan buruh paksa. 

 

Sehubungan itu, Top Glove berkata, kumpulan akan terus bekerjasama rapat dengan CBP ke arah penarikan atau pengubahsuaian Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) mahu pun penemuan jabatan berkenaan.

 

Top Glove
BARISAN kotak yang dilabelkan hijau menunjukkan kesemua 11 isu berhubung buruh paksa telah diselesaikan oleh Top Glove. 

 

Berdasarkan jadual yang disediakan Top Glove, kumpulan berjaya menyelesaikan isu-isu, antaranya membabitkan penderaan, penahanan dokumen pengenalan, sekatan pergerakan, kerja lebih masa melampau, keadaan pekerjaan dan tempat tinggal teruk, perdayaan, pengasingan, ikatan hutang, penahanan gaji, keganasan fizikal dan seksual serta ugutan.

 

Sementara itu, menerusi makluman Top Glove di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan menjangkakan impak WRO atau penemuan ke atas jualannya di Malaysia adalah minimum, sehingga kedua-duanya ditarik semula.

 

Setakat 2.11 petang, nilai saham Top Glove menyusut 8 sen kepada RM5.37. - DagangNews.com