JAG Berhad catat keuntungan RM14 juta - terkukuh bagi Q3FY2021 | DagangNews Skip to main content

JAG Berhad catat keuntungan RM14 juta - terkukuh bagi Q3FY2021

SHAH ALAM 17 Nov – JAG Berhad syarikat peneraju dalam pengurusan sisa, yakin dengan keupayaannya dalam tahun-tahun mendatang berikutan kejayaannya mencatatkan prestasi kewangan paling kukuh sejak menyempurnakan pengambilalihan songsang pada 2014.

 

Bagi Suku Ketiga Tahun Kewangan 2021 (Q3FY2021), Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM14 juta, peningkatan dua kali ganda yang memberangsangkan berbanding RM6 juta yang dicatat bagi tempoh serupa pada tahun lalu.

 

Keputusan kewangan itu diraih disebalik perolehan sebanyak RM158 juta, juga peningkatan besar daripada RM115 juta yang dicatat pada tahun lalu.

 

Berdasarkan suku tahunan atas suku tahunan, JAG mencatat PAT sebanyak RM4.5 juta berbanding RM2.4 juta tahun lalu manakala perolehan bagi suku tahunan ini ialah RM47 juta, sedikit susut daripada RM48 juta yang dicatat tahun lalu.

 

Pengarah Eksekutif JAG Berhad, Dato’ Ng Meow Giak berkata, pihaknya menutup Q3FY2021 dengan catatan peningkatan keuntungan yang signifikan.

 

Beliau berkata, faktor luaran seperti harga komoditi yang semakin naik dan kos pembelian bahan E&E (Elektrik dan Elektronik) menyumbang kepada prestasi syarikat.

 

Sementara di peringkat dalaman ujar beliau, syarikat juga berjaya meraih 17% lagi kontrak berbanding setahun lalu, yang melonjakkan lagi keuntungan.

 

``Dengan pemulihan landskap perniagaan di bawah Program Pemulihan Negara, kami optimistik terhadap prospek kami memasuki tahun 2022 dengan perkembangan industri E&E,’’ kata beliau.

 

“Ketika pandemik menyebabkan gangguan besar di dalam operasi pembuatan termasuk E&E, ia juga menghasilkan permintaan lebih tinggi terhadap produk khusus E&E yang seterusnya meningkatkan pertumbuhan keseluruhan semikonduktor,’’ ujarnya.

 

 

Pengarah Eksekutif JAG Berhad, Dato’ Ng Meow Giak
Pengarah Eksekutif JAG Berhad, Dato’ Ng Meow Giak

 

 

Menurut laporan, sektor E&E mewakili 40% eksport negara. Dalam lapan bulan pertama 2021, jumlah keseluruhan dagangan produk E&E Malaysia adalah berjumlah RM477 bilion. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sektor ini diunjur menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.

 

“RMK-12 akan memfokus kepada industri berpotensi tinggi seperti E&E untuk memacu ekonomi dan mencipta peluang-peluang baharu ekonomi.

 

‘’JAG Berhad berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk membangunkan industri pada suku tahunan seterusnya. Pada masa sama, kami juga komited untuk terus menambah baik potensi perolehan kami dengan melabur di dalam inisiatif pembinaan kapasiti di mana yang perlu,’’ kata beliau.

 

“Kami juga maklum terhadap persekitaran ekonomi luaran yang boleh memberi impak terhadap perolehan syarikat.

 

‘’Di pihak kami, syarikat akan terus mengambil langkah-langkah bagi memastikan kami mampu memberikan nilai kepada pemegang saham dengan membina daripada kekuatan kami dan merebut peluang-peluang untuk pertumbuhan organik,’’ kata Ng. – DagangNews.com