JAKIM laksanakan 3 mekanisme baharu perkasakan pengurusan daging import halal - PM | DagangNews Skip to main content

JAKIM laksanakan 3 mekanisme baharu perkasakan pengurusan daging import halal - PM


PUTRAJAYA 23 Nov - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan tiga mekanisme baharu akan dilaksanakan bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Tiga mekanisme bakal dilaksanakan itu ialah mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang, mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bawah skim logistik kategori penggudangan.

 

Menurutnya, produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bawah skim logistik kategori pengangkutan dan mewujudkan prosedur mandatori pembungkusan semula (repacking) yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia bawah skim produk makanan.

 

"Kesemua inisiatif ini penting bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin," katanya.

 

''Mekanisme ini dilaksanakan Jakim bersama beberapa agensi berkaitan itu adalah rentetan daripada episod kartel daging import pada Disember tahun lepas yang telah membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia,'' kata Perdana Menteri.

 

Berucap merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 secara maya hari ini, Ismail Sabri berkata pelaksanaan mekanisme itu mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang untuk mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.

 

Perdana Menteri berkata, pemerkasaan Pensijilan Halal Malaysia oleh JAKIM yang menyaksikan pembangunan Sistem Maklumat Bersepadu Halal, bakal memberi akses kepada Keluarga Malaysia kepada status halal produk dari luar negara bermula 2023 kelak.

 

 

jakim

 

 

``Pada masa ini, JAKIM sedang membangunkan sistem itu yang akan menjadi pangkalan data halal dengan kos RM3.4 juta,'' kata beliau.

 

Beliau berkata, inisiatif itu akan merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (Domestik), MYeHALAL (Antarabangsa), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).

 

"Contohnya melalui MyIHAB, JAKIM dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara, daripada 46 negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

 

"Insya-Allah, melalui perancangan yang dijangka bermula pada tahun 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui sistem ini," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, pada Oktober tahun lalu, JAKIM juga berjaya memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065, melatakkan Halal Malaysia sebagai Badan Pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.

 

Beliau berkata, akreditasi itu memberikan impak bukan sahaja kepada produk yang sudah dipersijilkan, bahkan turut menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan halal yang lebih baik.


 

jakim


 

 

Katanya, JAKIM juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa, sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia.

 

Ia antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada JAKIM.

 

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberi keutamaan terhadap memperkasakan usahawan halal Bumiputera melalui program bimbingan yang membabitkan beberapa kementerian berkaitan.

 

Selain itu, Ismail Sabri berkata, JAKIM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan keselamatan produk makanan halal di semua rantaian, susulan pembongkaran kartel daging import yang diimport dari beberapa negara luar, pada akhir tahun lalu.

 

Pada program sama, Perdana Menteri turut melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.

 

Beliau berkata, ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara manakala Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman pensijilan halal negara. - DagangNews.com