JAKS mahu rebut peluang berkembang di Sabah menerusi RMKe-12 | DagangNews Skip to main content

JAKS mahu rebut peluang berkembang di Sabah menerusi RMKe-12

Operasi loji jana kuasa JAKS Hai Duong di Vietnam

 

 


KUALA LUMPUR 11 Okt. - JAKS Resources Bhd. kekal optimis untuk mengukuhkan kedudukan di Sabah sejajar dengan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). 

 

Ini susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) pada 8 Julai lalu antara anak syarikat milik penuhnya, JAKS Solar Power Sdn. Bhd. dan Qhazanah Sabah Sdn. Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd.) bagi membangunkan projek tenaga solar dan loji tenaga hidro di Sabah. 

 

Bagaimanapun, setakat ini, perbincangan berhubung kerjasama tersebut masih lagi berjalan, menurut syarikat pembinaan dan pegangan khususnya dalam projek infrastruktur, air dan tenaga itu dalam kenyataan hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif JAKS, Andy Ang Lam Poah menyifatkan dengan pelancaran RMKe-12, kumpulan mampu merebut peluang untuk mengembangkan perancangan syarikat pada masa akan datang terutama MoU dengan Qhazanah Sabah. 

 

Di samping itu, katanya, ia juga secara tidak langsung membuka peluang perniagaan yang berpotensi untuk JAKS memperluaskan jejaknya di Sabah dan Sarawak, justeru, kumpulan kekal optimis terhadap prospek masa depannya.

 

"Oleh itu, JAKS mempunyai prospek cerah dalam memperbaharui nilai kontrak bagi projek pembinaan kumpulan terutama loji rawatan air dan sisa kumbahan, selain pembinaan lebuh raya," katanya. 

 

Pelan pembangunan bagi tempoh 2021-2025 yang dibentangkan pada 27 September lalu akan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak menerusi pelbagai inisiatif yang dirancang terutama bagi membangunkan sosioekonomi dan mengurangkan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia serta kedua-dua negeri tersebut.

 

Di bawah RMKe-12, sebanyak RM400 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan yang turut akan disalurkan bagi projek infrastruktur dan kemudahan asas di Sabah dan Sarawak.

 

Kerajaan turut menyasarkan pelan pembangunan itu mampu mencapai sasaran 31% kapasiti tenaga diperbaharui menjelang 2025 seiring dengan komitmen Malaysia untuk muncul sebagai negara bebas karbon pada 2025.

 

Dalam perkembangan lain, JAKS memaklumkan ketidaktentuan harga arang batu baru-baru ini tidak menjejaskan keuntungan kumpulan menerusi operasi loji jana kuasa JAKS Hai Duong di Vietnam, memandangkan ia dilepaskan kepada Vietnam Electricity. 

 

Jelasnya, arang batu dibekalkan kepada loji jana kuasa adalah daripada sumber tempatan menerusi perjanjian bekalan yang ditandatangani antara Vietnam National Coal-Mineral Industries Group, dikenali sebagai Vinacomin untuk memastikan bekalan yang stabil bagi tempoh 25 tahun. 

 

"Sehubungan itu, JAKS tidak terdedah dengan risiko daripada turun naik harga arang batu global ini," jelasnya. - DagangNews.com