KUALA LUMPUR 7 Mac - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas kejadian beberapa buah kenderaan mengalami kerosakan selepas melalui lorong yang terkesan akibat hujan lebat di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) KM15.8 (arah selatan) di antara Persimpangan Damansara dan Subang pada Sabtu lalu.
PLUS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya sedia membantu pelanggan yang mengalami kerosakan kenderaan pada kejadian tersebut, yang boleh menghubungi talian PLUS di talian 1800 88 0000 atau melalui laman web PLUS, www.plus.com.my
"Pada kejadian yang berlaku semalam, sepasukan PLUSRonda telah segera ke lokasi untuk memberi bantuan kepada pelanggan yang terkandas dan menguruskan trafik.
"Hasil siasatan awal oleh PLUS juga mendapati insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan pada pengguna lebuh raya.
"Pasukan penyelenggaraan lebuh raya telah mengesan keadaan jalan yang tidak rata di lokasi kejadian dan telah menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan segera," katanya.
Tambah kenyataan itu, pada ketika ini, PLUS sedang mengadakan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kerosakan dan meningkatkan pemantauan demi keselamatan dan keselesaan pelanggan lebuhraya mempunyai pengalaman perjalanan yang lebih selamat. - DagangNews.com