Jalinan kerjasama Penjana Kapital, AC Ventures rangsang ekosistem industri Malaysia | DagangNews Skip to main content

Jalinan kerjasama Penjana Kapital, AC Ventures rangsang ekosistem industri Malaysia

Perdana Menteri bersama Pengerusi Penjana Kapital, Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim (kiri) dan Pengasas AC Ventures, Pandu Sjahrir sewaktu majlis menandatangani kerjasama di antara kedua-dua syarikat itu di Jakarta.
 
 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Nov - Penjana Kapital Sdn. Bhd. (Penjana Kapital) berjaya memetrai perjanjian bersama sebuah syarikat pelaburan modal teroka yang terkemuka di Indonesia dengan memberi fokus kepada rantau Asia Tenggara, AC Ventures.

 

AC Ventures merupakan satu daripada lapan pengurus dana modal teroka yang terpilih dibawah Program Dana Penjana Nasional, sebuah program yang dikendalikan oleh Penjana Kapital.

 

AC Ventures telah bekerjasama dengan Translink Capital dan Vertex Force untuk melabur di dalam salah satu dana oleh Dana Penjana Nasional, SEA Frontier Fund yang memberi fokus kepada syarikat pemula Malaysia untuk menembusi pasaran Indonesia serta menjalinkan kerjasama di dalam ekosistem teknologi serantau.

 

Melalui kerjasama antara Penjana Kapital dan AC Ventures, dana SEA Frontier Fund akan menggandakan usaha dalam strategi pelaburan yang tertumpu kepada syarikat pemula yang ingin menjalankan perniagaan rentas sempadan serantau. 

 

Dana SEA Frontier Fund juga telah meraih komitmen daripada pelabur strategik asing termasuk syarikat konglomerat antarabangsa yang terkenal dari Korea Selatan.

 

SEA Frontier Fund kini mempunyai dana sebanyak RM200 juta dan menyasarkan untuk meraih pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta dalam masa tiga bulan akan datang. 
 

“Saya mengalu-alukan keputusan AC Ventures untuk menguatkan kerjasama dengan Penjana Kapital dan melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia. 

 

"Pelaburan ini adalah amat penting untuk merangsang ekosistem industri di negara kita, dengan menggalakkan inovasi dan melengkapkan usahawan tempatan dengan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan terutamanya di Indonesia, pasaran pengguna terbesar di rantau Asia Tenggara. 

 

"Menerusi pengetahuan industri tempatan yang luas dan rangkaian perniagaan yang besar oleh AC Ventures, syarikat pemula niaga Malaysia mempunyai peluang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam pasaran ekonomi Indonesia yang bernilai AS$1 trilion," kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

 

Majlis menandatangani perjanjian turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mengadakan lawatan rasmi ke Republik Indonesia.

 

AC Ventures mempunyai portfolio hampir 100 syarikat dan telah melabur ke dalam syarikat pemula niaga terkenal seperti Carsome, Xendit, Stockbit, Eden Farm dan Ula.

 

Penjana Kapital melihat peluang bagi syarikat pemula niaga Malaysia dalam beberapa sektor di bawah kerangka “Making Indonesia 4.0” seperti sektor automotif, agrikultur dan makanan serta kesihatan.

 

Berdasarkan padanan 1:1 dana oleh Kementerian Kewangan, Dana Penjana Nasional telah mengumpul RM995.4 juta untuk lapan dana modal teroka di bawah program tersebut dengan RM562.7 juta merupakan modal pelabur asing dan swasta tempatan. 

 

Penjana Kapital juga ingin mengumumkan bahawa 30 pelaburan berjumlah RM267.2 juta telah diluluskan dibawah program Dana Penjana Nasional dengan dua daripadanya berjaya mencapai status “unicorn” (perusahaan syarikat pemula niaga bernilai lebih AS$1 bilion).-DagangNews.com