Jaya Grocer buka cawangan baharu konsep 'pop-up' di Sunway Pyramid | DagangNews Skip to main content

Jaya Grocer buka cawangan baharu konsep 'pop-up' di Sunway Pyramid

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt - Rangkaian pasar raya terkemuka Jaya Grocer membuka cawangan baharunya berkonsepkan ‘pop-up’ di Sunway Pyramid baru-baru ini untuk memberikan pengalaman serta gambaran awal kepada pelanggan setia dan pengunjung tetap pusat beli-belah tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Adelene Foo berkata, cawangan utama baharu Jaya Grocer di pusat beli-belah berkenaan dijangka dibuka sepenuhnya pada suku keempat tahun 2024.

 

Beliau berkata, kedai berkonsepkan pop-up itu adalah bersifat sementara dengan kerja-kerja pengubahsuaian dan pemasangan sedang dijalankan.

 

Katanya, seiring dengan jaminan perkhidmatan Jaya Grocer, yang mana pihaknya sentiasa mencari cara-cara baharu dan inovatif untuk memenuhi harapan dan keperluan pelanggan.

 

"Kami menyedari bahawa kerja-kerja pengubahsuaian tersebut akan mengambil masa berbulan-bulan. Oleh itu, kami ingin segera memberi pilihan kepada pelanggan setia kami untuk terus berbelanja dengan kami buat sementara waktu ini. 

 

"Kami menghargai sokongan padu yang telah diberikan selama ini, sehingga Jaya Grocer mencapai kedudukan terkemuka di Malaysia pada hari ini. Ini adalah langkah terbaik yang dapat kami lakukan untuk menjaga pelanggan kami, serta menggembirakan komuniti Sunway dan pelanggan tetap di Pyramid," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Foo, pasukannya mempunyai harapan besar bagi cawangan mereka di Sunway Pyramid, mengambil kira reputasi pusat membeli-belah tersebut yang terkenal di bandar ini.

 

 

jayagrocer

 

 

Pengurus Besar Kanan Sunway Pyramid, Jason Chin pula berkata, pihaknya gembira apabila Jaya Grocer menyertai rangkaian peruncitan Sunway Pyramid kerana jenama itu merupakan pilihan utama bagi barangan import dan bahan-bahan segar berkualiti tinggi.

 

"Kami sangat teruja menyambut Jaya Grocer untuk menyertai kami terutamanya apabila mereka mengambil inisiatif untuk membuka kedai sementara berkonsepkan 'pop-up', demi memenuhi harapan pelanggan," katanya.

 

Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan Sunway Pyramid, Jaya Grocer kini menawarkan promosi pembukaan istimewa dari 1 hingga 15 Oktober bagi  produk-produk di setiap kategori.

 

 

jayagrocer

 

 

Kedai pop-up itu akan mempunyai dua bahagian, yang mana bahagian utama terletak di ruang legar biru yang menawarkan barangan runcit kepada orang ramai mulai dari 1 Oktober, manakala bahagian lain berada di ruang legar oren yang menawarkan Baker's Son dan produk import seperti Coles dari Australia yang akan dibuka minggu depan.

 

Pelanggan boleh menikmati lebih banyak tawaran nilai dan diskaun setiap bulan melalui program Keahlian Jaya Grocer yang dibawakan oleh Grab. Akses kepada program keahlian ini tersedia secara terus melalui aplikasi mudah alih Grab.  - DagangNews.com