Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan lakar sejarah tersendiri, julung kali diadakan hingga 9 malam | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan lakar sejarah tersendiri, julung kali diadakan hingga 9 malam

Oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 24 Julai - Kelantan melakar sejarah tersendiri sebagai tuan rumah dalam penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia kerana buat julung kalinya, ia diadakan sehingga pukul 9 malam berbanding penganjuran di lima negeri sebelum ini yang berlangsung setakat 6 petang sahaja.

 

Langkah itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung hadir pada waktu malam memandangkan ramai yang sibuk bekerja atau berniaga pada sebelah siang.

 

Tinjauan DagangNews.com di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi mendapati, semua reruai di 26 kementerian, tapak jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan jualan kenderaan saji (good truck) dipenuhi pengunjung.

 

Seorang pengunjung dari Rantau Panjang, Rosli Nawi, 41, berkata, beliau mengambil masa 40 minit datang ke perkarangan stadium itu untuk melihat sendiri apa peluang yang ditawarkan kerajaan dalam bidang perniagaan.

 

"Saya tahu semua itu ada disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan beberapa lagi agensi, namun tidak berkesempatan pergi ke pejabat-pejabat itu untuk membuat permohonan kerana sibuk berniaga pada waktu siang.

 

"Bila dapat tahu Jelajah AKM diteruskan ke Kota Bharu memang rasa gembira sangatlah sebab ini peluang yang ada untuk saya bertanya kepada beberapa agensi kerajaan secara terus mengenai pembiayaan atau pinjaman perniagaan.

 

"Bertambah lega sebab Jelajah AKM dilanjutkan sehingga malam. Bak kata orang 'pucuk dicita ulam mendatang'.....memang sesuai sangat dengan jadual harian saya dan alhamdulillah saya telah berjumpa sendiri dengan pegawai bertugas serta akan buat tindakan susulan selepas ini," katanya yang berniaga kambing perap dan pelbagai burger sejak 10 tahun lepas.

 

 

AKM
Rosli Nawi hadir ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan bersama isteri dan tiga anaknya malam tadi.

 

 

AKM
Malam Kesenian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan di pentas utama antara tarikan pengunjung.

 

 

Seorang lagi pengunjung, Sarimah Sulaiman, 40, pula berkata, dia datang bersama lapan ahli keluarganya untuk menyaksikan kemeriahan Jelajah AKM terutama persembahan seni kebudayaan di pentas utama dan 'mencuci mata' di tapak jualan usahawan.

 

"Kebetulan malam ini sahaja jadual kami suami isteri agak lapang, jadi hadir ke sini untuk bawa anak-anak tengok maskot Ejen Ali, Omar dan Hana serta tengok pakej telefon yang menarik.

 

 

AKM
Sarimah Sulaiman

 

 

"Peluang yang ada ini tidak harus dilepaskan untuk kita dedahkan anak-anak dengan perkhidmatan yang disediakan kerajaan dan apa lagi perancangan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang khususnya bantuan persekolahan dan biasiswa pendidikan.

 

"Lagipun program sebegini jarang ada, sebab tu kena juga luangkan masa untuk hadir, setidak-tidaknya ketika mendaftar masuk tadi pun dah dapat cenderhati di kaunter utama iaitu cecair pencuci tangan pembasmi kuman, buku nota dan pelitup muka," katanya.

 

 

AKM
Kemeriahan di tapak jualan kenderaan saji Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan.

 

 

Sementara itu, Nurul Farzana Izazi Romfazly Syam, 18, yang bertugas di tapak khemah usahawan IKS turut menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan program hingga waktu malam kerana memberi masa yang lebih panjang untuk usahawan melariskan jualan mereka.

 

 

AKM
Nurul Farzana Izazi Romfazly Syam

 

 

"Saya di sini membantu ibu saudara menjual 'Aiskrim Ain' dengan perisa coklat, strawberi dan vanila yang kini menjadi kegilaan ramai terutama kanak-kanak kerana turut dicampur Oreo, Cornflakes dan Koko Krunch.

 

"Alhamdulillah jualan memang sangat memberangsangkan kerana banyak kali juga kami perlu top up (tambah) tong aiskrim selama dua hari berniaga di sini," katanya yang mengisi masa lapang selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - DagangNews.com