Jenama kosmetik UK, Lush buka cawangan ke-10 di Suria KLCC | DagangNews Skip to main content

Jenama kosmetik UK, Lush buka cawangan ke-10 di Suria KLCC

Para tetamu turut serta dalam bengkel 'Bath Bomb' yang mana mereka mempelajari nilai-nilai teras Lush seperti 100% vegetarian, menentang pengujian terhadap haiwan, kelestarian menyeluruh dan pembungkusan kitar semula.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan -  Syarikat kosmetik segar buatan tangan yang diasaskan di Britain, Lush, meluaskan jangkauan produknya di Malaysia menerusi pembukaan cawangan ke-10 di Suria KLCC, di sini.

 

Lush berkata, sejak mula bertapak dalam pasaran Malaysia pada 2018, Lush mengukuhkan jenamanya dengan 10 buah cawangan di Lembah Klang, Johor, Kuantan dan Pulau Pinang. 

 

Katanya, Lush terus mencipta revolusi kosmetik untuk menyelamatkan planet ini melalui produk dan kempen kelestariannya yang memfokuskan kepada hak manusia, haiwan dan alam sekitar dengan pelancaran kedai terbarunya ini. 

 

"Pada masa sama, Lush Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar menerusi inisiatif penanaman terumbu karang. 

 

"Ia turut dikenali dengan inovasi produk bebas pembungkusan yang berjaya menjimatkan 13,800 tan plastik di seluruh dunia sebagai penzahiran kepada kesungguhan Lush dalam menjayakan agenda kelestarian alam. 

 

"Lush berjaya menghindari penggunaan plastik bersamaan dengan berat 76 ekor ikan paus biru menerusi pengenalan produk bebas pembungkusan seperti pepejal syampu, dan ketulan perapi rambut," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pengarah Lush Malaysia, Dr Harvinder Harchand berkata, pelanggan boleh merasai sendiri pengalaman membeli produk Lush yang dijual tanpa pembungkusan, yang lebih dikenali sebagai 'naked products'. 

 

 

lush
Dr Harvinder Harchand

 

 

"Idea di sebalik produk bebas pembungkusan ini adalah untuk mengurangkan kos yang lazimnya ditanggung kerana pembungkusan, dan ia secara langsung membolehkan produk dihasilkan menggunakan bahan yang lebih baik, sesuai untuk keperluan pelanggan," katanya.

 

Sementara itu, Lush berkata, pihaknya terus mempromosikan tanggungjawab sosial melalui skim 'Charity Pot' dan 'Bring It Back' dalam menjayakan inisiatif mesra alamnya. 

 

 

lush

 

 

"Bagi tujuan ini, Lush memperuntukkan 100% daripada hasil jualan (selepas ditolak cukai tempatan) krim tangan dan badan Lush, Charity Pot, sebagai geran kepada kumpulan yang memperjuangkan perlindungan haiwan, alam sekitar dan hak asasi manusia. 

 

"Geran ini disalurkan untuk membiayai kumpulan-kumpulan kecil pada peringkat akar umbi yang berperanan sebagai pemacu perubahan radikal, dan mengutamakan projek yang bertujuan untuk mencipta perubahan jangka panjang pada peringkat setempat," katanya.

 

 

lush

 

 

Katanya, skim Bring It Back menggalakkan pelanggan untuk memulangkan bungkusan dan bekas kosong ke kedai Lush, sekali gus menyumbang kepada pengurangan sisa plastik dan memupuk sistem kitar semula gelung tertutup. - DagangNews.com