Fajar Defence perkenal simulator operasi, CYDEXA tangani peningkatan ancaman siber di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Fajar Defence perkenal simulator operasi, CYDEXA tangani peningkatan ancaman siber di Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif, Cynclair Co Ltd, Joel Wong (kiri), Gerald Daniel (dua dari kiri) dan Pengerusi Fajar Defence Sdn Bhd, Datuk Muzammil Mohamad (kanan) bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) semasa Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mei - Fajar Defence Sdn Bhd, peneraju dalam analisis rantaian blok (blockchain) serta rumusan keselamatan siber memperkenalkan dua tawaran baharu bagi meningkatkan keselamatan digital bagi menangani ancaman yang semakin meningkat di Malaysia.  

 

Dua tawaran itu ialah Simulator Operasi bagi Pemeriksa Rantaian Blok dan CYDEXA iaitu rumusan Pengesanan dan Tindak Balas Terurus (MDR) 

 

Rumusan inovatif itu telah dilancarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024.

 

Simulator Operasi untuk Penyiasat Rantaian Blok dan CYDEXA menyasarkan untuk mengubah penyiasatan keselamatan siber dan rantaian blok bagi agensi penguatkuasaan undang-undang, institusi kewangan serta perniagaan dengan teknologi.

 

Platform latihan itu akan digunakan oleh agensi penguatkuasa undang-undang/pengawal selia dan ia bakal menyediakan pengalaman pembelajaran tersuai kepada penyiasat pada semua peringkat kecekapan, sekali gus memperkasakan mereka untuk mempertajam kemahiran merentas pelbagai mata wang kripto.

 

Selain itu, Fajar Defense juga memperkenalkan CYDEXA, iaitu rumusan MDR yang direka bentuk untuk menangani keperluan dan cabaran keselamatan siber unik yang dihadapi oleh perniagaan dalam landskap digital hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Fajar Defence, Gerald Daniel berkata, keselamatan siber merupakan keutamaan bagi perniagaan di seluruh Malaysia terutama dengan peningkatan kecanggihan ancaman siber.

 

fajar defence
Gerald Daniel (duduk kiri) memeterai perkongsian strategik bersama Pegasas Cynclair Co Ltd, Tanajak Watanakij (duduk kanan) dalam satu majlis yang diadkaan di ibu negara pada 6 Mei 2024.

 

Beliau berkata,CYDEXA menawarkan tindak balas insiden yang komprehensif yang dibezakan oleh keupayaan tindak balas automatik atau separa automatik dengan pengkhususan dalam menangani ancaman lanjutan yang mungkin mengatasi langkah keselamatan tradisional.

 

"CYDEXA menekankan strategi pengesanan dan tindak balas. Pendekatan kami adalah proaktif dan bukannya reaktif, menampilkan pemantauan sepanjang masa yang ditambah dengan pemburuan ancaman proaktif yang berterusan.

 

“Pasukan kami terdiri daripada penganalisis pakar yang mahir dalam penyiasatan, tindak balas insiden dan forensik digital, dilengkapi dengan rangkaian teknologi canggih. 

 

"CYDEXA disepadukan dengan infrastruktur keselamatan sedia ada bagi memastikan keselamatan menyeluruh dengan mengesan dan bertindak balas terhadap pelanggaran sebelum ia menjejaskan organisasi itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, Fajar Defence dan Cynclair Co Ltd mengumumkan perkongsian strategik bagi mengukuhkan keupayaan keselamatan siber dan memacu inovasi di seluruh rantau ASEAN.

 

Kedua-dua syarikat menggabungkan kepakaran, sumber dan teknologi termaju mereka bagai menawarkan rumsan keselamatan siber tersuai kepada perniagaan dan organisasi yang bergelut dengan landskap ancaman siber di ASEAN.

 

"Cynclair dan Fajar Defence juga akan mewujudkan hab inovasi khusus untuk merintis teknologi keselamatan siber generasi akan datang. Usaha kolaboratif ini akan memberikan fokus pada usaha menangani ancaman siber yang muncul, memperkukuh keupayaan risikan ancaman dan meneroka pendekatan baharu kepada daya tahan keselamatan siber," katanya. - DagangNews.com