Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Pop Meals, jenama restoran terbaharu yang menyediakan perkhidmatan makanan segera hari ini mengumumkan pembukaan restoran konsep pertama mereka di D’Pulze Mall minggu lalu.
Menampilkan hidangan makanan dengan harga di bawah RM15 setiap satu, Pop Meals menjadi pilihan utama pengunjung di mana merangkumi menu makanan tempatan serta barat yang dapat memenuhi cita rasa rakyat Malaysia.
Mengangkat Mac & Cheese sebagai hidangan istimewa, menu itu segera menjadi rebutan orang ramai untuk dinikmati.
Pengurus Komunikasi Pop Meals, Nurul Jamaludin berkata, pasukannya bekerja keras untuk mengenal pasti hidangan yang paling popular di Malaysia dan menawarkan menu tersebut di restorannya.
“Pop Meals adalah mengenai keseronokan makanan. Pelanggan boleh menjamu selera di restoran, membawa pulang hidangan atau membuat pesanan penghantaran melalui aplikasi mudah alih kami.
“Dengan aplikasi ini juga, pelanggan boleh membuat cadangan menu baharu dan pasukan kami akan menghasilkan hidangan tersebut lantas menyenaraikan ia sebagai menu baharu di restoran kami,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nurul, Pop Meals membuat analisis gabungan cadangan pelanggan dengan data pesanan bagi membolehkan mereka terus berinovasi dengan senarai menu dan menyenaraikan menu terhangat melalui carta “Top Hits”.
“Proses ini akan memastikan senarai menu kami sentiasa segar dan menyelerakan. Ketika kebanyakan restoran hanya melancarkan menu baharu setahun sekali, kami pula menawarkan hidangan menyelerakan di dalam menu kami setiap dua minggu sekali.
“Kami akan membuka lebih banyak lagi restoran konsep di Lembah Klang dan kemudiannya di negeri lain," ujarnya lagi.
Pop Meals menyasarkan perluasan perniagaan di seluruh negara menjelang 2021 dan seterusnya menembusi pasaran di rantau Asia Tenggara.
Dalam pada itu, bagi memberi contoh cita rasa hidangan makanan yang diimpikan oleh orang ramai, Nurul berkata bahawa pada minggu lepas menu Crazy Spicy Mac & Cheese dan Super Creamy Mac & Cheese menjadi senarai pilihan rebutan.
“Sebenarnya, pelanggan kami akan menentukan apa yang popular, makanan apa yang paling mereka sukai dan hidangan ini akan kekal di dalam carta serta di dalam senarai menu. Ia ditentukan oleh bilangan jualan serta penilaian pelanggan melalui aplikasi kami,” tambah Nurul. – DagangNews.com