JKPK harap diberi peluang teliti semula RUU kawalan tembakau selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak | DagangNews Skip to main content

JKPK harap diberi peluang teliti semula RUU kawalan tembakau selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Jawatankuasa Pilihan Khas Hal-Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK) berharap badan itu diberi peluang untuk menilai sama ada larangan, liabiliti dan penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diratifikasi oleh Malaysia pada 1995.

 

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jawatankuasa itu bimbang dengan penguatkuasaan RUU itu yang mungkin terdedah kepada penyalahgunaan, memandangkan ia membabitkan golongan bawah umur termasuk kanak-kanak.

 

Beliau berkata, merujuk kepada RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentang dan dibaca kali pertama di Parlimen pada 26 Julai lalu, jawatankuasa itu menghargai aspirasi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mencapai generasi penamat (GEG) bagi produk tembakau demi kesihatan rakyat.

 

"Bagaimanapu, JKPK khuatir fasal-fasal mengenai penguatkuasaan RUU akan membuka ruang untuk penyalahgunaan dan salah tafsir serta hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan RUU berkenaan dengan menyasarkan untuk mewujudkan generasi bebas amalan merokok termasuk rokok dan vape bagi mereka yang lahir pada 2007 dan selepasnya.

 

Azalina berkata, antara kebimbangan jawatankuasa itu adalah berhubung fasal 24 yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik mana-mana individu untuk menjadi pegawai dalam penguatkuasaan akta berkenaan.

 

Selain itu, pihaknya turut memberi penekanan mengenai skop kuasa pegawai yang diberi kuasa menyiasat, memasuki premis, mengambil sampel, memberhentikan, menggeledah dan menyita dengan atau tanpa waran dan sebagainya, seperti yang diperuntukkan di bawah fasal 24, fasal 26, fasal 27, fasal 28, fasal 32 dan fasal 33.

 

"Pihak jawatankuasa juga bimbang kerana penguatkuasaan ini membabitkan golongan bawah umur dan pengendalian golongan ini memerlukan pegawai yang terlatih dan mempunyai sensitiviti kanak-kanak, selaras dengan norma antarabangsa.

 

"Fasal 54(1)(b) berkenaan kompaun kesalahan juga perlu diteliti dengan lebih mendalam atas implikasinya ke atas golongan bawah umur," katanya.

 

Justeru, jawatankuasa itu berharap KKM dapat merujuk RUU berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi sebelum pembentangan di Dewan Rakyat.

 

"JKPK turut menyokong syor nombor 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi yang tidak bersetuju dengan cadangan hukuman jenayah yang dikenakan kepada kesalahan yang membabitkan remaja.

 

"Kami bersedia membantu KKM berkenaan RUU tersebut dari perspektif hak kanak-kanak sebelum bacaan kedua di Dewan Rakyat," katanya. - DagangNews.com