Johor, destinasi pilihan utama pelaburan di Malaysia - MIDA | DagangNews Skip to main content

Johor, destinasi pilihan utama pelaburan di Malaysia - MIDA

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Malaysia terus kekal menjadi destinasi pilihan bagi aktiviti pelaburan walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Antara kesemua negeri di Malaysia, Johor menerima jumlah pelaburan yang tertinggi. 

Setakat Disember 2019, terdapat 4,764 projek pengilangan dijalankan di negeri selatan Malaysia itu dengan jumlah pelaburan bernilai RM166 bilion. 

Separuh daripada jumlah itu yang bernilai RM88.4 bilion merupakan kemasukan pelaburan asing. 

“Kesemua projek ini penting yang mewujudkan lebih 502,700 pekerjaan, terutamanya dalam bidang produk petroleum termasuk petrokimia, produk elektrikal dan elektronik (E&E), pembuatan makanan, produk logam asas serta produk kimia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin Abdul Rahim, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam webinar “Invest Series: Unfolding States’ Business Potential, A Briefing By Johor State Government”. 

Pada separuh tahun pertama 2020 (1H20), Johor menjadi antara negeri teratas yang memperoleh 89 projek pengilangan dengan jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM3.6 bilion. 

Jelas Ahmad Khairuddin, Malaysia tidak dinafikan mempunyai gabungan kelebihan daya saing untuk menjadi hab rantai bekalan global yang penting.

Ini disebabkan lokasi Malaysia yang strategik, infrastruktur perdagangan cekap, ekosistem perniagaan berhubung dengan baik serta tenaga kerja berbakat yang menawarkan peluang menarik untuk syarikat memanfaatkan ketika mereka menjalankan perniagaan dengan rantau ASEAN.

Tegas beliau, kerajaan dan swasta perlu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti pelaburan dengan pemain industri perlu meningkatkan sepenuhnya penggunaan semua program dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. - DagangNews.com