Oleh Dominic G. Joseph
[email protected]
PENAMPANG 16 Dis - Keputusan pasangan suami isteri untuk memulakan perniagaan pada akhir tahun 2019, benar-benar mencabar kerana tiga bulan kemudiannya negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Berasaskan produk buah-buahan, kedai Fresh Garden KK di Bundusan diusahakan oleh Jones Chai Chee Min dan isterinya, Mimi Comstance perlu mendapatkan bekalan daripada petani dan penanam buah-buahan.
Menurut Jones, PKP bukan sahaja menyukarkan mendapatkan bekalan tetapi juga pelanggan tidak dapat datang ke kedai.
Keadaan ini bagaimanapun, mendorong Jones dan Mimi memberi penekanan kepada penjualan secara dalam talian, yang mana pesanan buah-buahan dihantar menggunakan khidmat penghantar, sehinggalah sekarang.
Fresh Garden KK mendapat tempahan melalui laman web seperti Facebook, laman dalam talian dan lain-lain lagi.
"Selain daripada ini, pelbagai transaksi juga dijalankan dengan pemilik hotel, restoran, kafe dan lain-lain lagi. Kami tidak tertumpu dengan perniagaan runcit.
"Perniagaan kami bukan satu perniagaan yang luar biasa. Bukan sesuatu perkara yang sukar untuk mencari atau membeli mangga, nanas dan buah-buahan di Sabah.
‘’Tetapi sebab utama Fresh Garden KK berjaya ialah kami memberi perkhidmatan pelanggan dan produk yang berkualiti tinggi," katanya kepada DagangNews.com di sini.
Kedua-dua pasangan suami isteri ini pernah merantau ke Singapura sebelum memutuskan untuk kembali ke Sabah dan membuka perniagaan tersebut.
Jones adalah lulusan Caplin International School Singapore dalam bidang perhotelan dan pelancongan, yang berkecimpung kemudiannya selama 17 tahun dalam sektor pelancongan.
Sementara itu, Mimi selepas menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), bekerja sebagai pegawai kewangan di Singapura.
Berbekalkan pengalaman dalam industri pelancongan, Jones mengekalkan amalan menjaga hubungan yang mesra dengan pelanggan.
‘’Apa yang penting ialah hubungan mesra di antara pelanggan dan 'Fresh Garden KK'. Dengan cara ini pelanggan akan memberikan input penambahbaikan kualiti produk atau jenis perkhidmatan yang diingini," kata beliau.
Sementara itu, Mimi berkata, pelanggan hari ini bukan sahaja berminat dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan tetapi semua elemen tambahan perkhidmatan yang mereka terima bermula dari ucapan yang mereka terima semasa memasuki premis sehinggalah perkhidmatan selepas jualan.
"Pelanggan akan berpuas hati jika perkhidmatan yang diberikan cepat, tiada kesilapan, mudah diperoleh, tidak membebankan pelanggan dan disertai dengan layanan yang mesra serta bersopan.
‘’Tidaklah mencabar sangat untuk membeli buah-buahan tempatan atau buah-buahan yang diimport dari luar negara. Namun untuk mengekalkan perniagaan kami memberi tumpuan kepada kualiti produk dan perkhidmatan pelanggan," kata Mimi. – DagangNews.com