PASIR SALAK 1 Julai - Pengunjung yang ingin datang ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini disaran bawa `beg besar' untuk membeli-belah barangan keperluan dapur yang dijual lebih murah.
Gerai jualan Koperasi Felcra Seberang Perak menawarkan potongan harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah bagi memberi peluang kepada rakyat untuk berbelanja sehingga penuh bakul.
Harga sepeket minyak masak 2.5 kilogram (kg) hanya dijual pada harga RM2.20 iaitu 30 sen lebih rendah berbanding harga yang ditetapkan.
Harga barangan lain pula seperti beras Faiza 10kg pada harga RM22, beras cap Rambutan import (RM24), sardin King Cup (RM7.80) dan susu pekat (RM2.50).
Pengurus jualannya, Mohamad Zul Arif Zainol, 30, berkata, hanya pada program AKM pelanggan dibolehkan membeli sehingga lima peket minyak.
Menurut beliau, sebanyak lima tan minyak masak peket diperuntukkan sehari untuk jualan atau 15 tan sepanjang AKM berlangsung.
"Insyallah jumlah tersebut mencukupi, jika tidak dapat beli hari ini orang ramai boleh datang esok untuk dapatkan minyak masak di gerai jualan kami.
"Pembeli yang membeli barangan melebihi RM30 pula layak menerima sepeket tepung gandum percuma," ujarnya kepada DagangNews.com.
Selain itu katanya, sesi 'happy hour' pula akan diadakan pada Ahad nanti iaitu selepas ketibaan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob yang menawarkan potongan 30 peratus pada barangan terpilih.
"Misalnya beras 5kg, susu tin, sardin dan minyak masak akan diberi potongan tambahan sebanyak 10 sen lagi. Ini semua untuk menawarkan pengurangan harga pada Keluarga Malaysia," ujarnya.
Turut diberi potongan harga ialah ayam standard yang dijual hanya RM8.50 sekilogram iaitu murah 90 sen berbanding harga siling RM9.40.
Peniaganya, Muamar Azhari, 36, berkata, sebanyak 1,000 ekor ayam dibawa pada hari ini dan jumlahnya ditambah sebanyak 2,000 ekor esok dan 3,000 ekor pada Ahad.
"Harga istimewa ini ditawarkan oleh syarikat Mat Frozen Holding Sdn. Bhd. dari Teluk Intan yang dipilih sebagai penjual pada AKM oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
"Selain ayam, kita juga menjual telur ayam juga pada harga lebih rendah ialah RM12 sepapan bagi telur gred B," ujarnya. - DagangNews.com