Jualan Dunhill dijangka lebih positif menjelang FY21 | DagangNews Skip to main content

Jualan Dunhill dijangka lebih positif menjelang FY21

Dunhill

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Pasaran rokok jenama Dunhill dilihat mempunyai prospek jualan yang lebih baik menjelang tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, susulan potensi yang lebih baik itu, pihaknya turut meningkatkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) British American Tobacco (BAT) sebanyak 4% hingga 5% pada tahun kewangan 2021-2022.

 

"Kami percaya bahawa kami terlalu konservatif terhadap jumlah jualan Dunhill kerana kami menjangkakan jumlahnya akan semakin merosot setiap tahun.

 

"Kami sekarang percaya Dunhill dapat mencatatkan pertumbuhan jumlah penjualan (tahun ke tahun) pada tahun kewangan 2021 setelah mengalami penurunan dua digit pada separuh pertama 2020 yang disebabkan oleh fasa awal perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

"Dengan itu kami meningkatkan EPS tahun kewangan 2021-2022 sebanyak 4% hingga 5%," jelas CGS-CIMB Research hari ini.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research bagaimanapun memutuskan untuk menurunkan EPS tahun kewangan 2020 sebanyak 3%.

 

Jelas nota kajian itu, penurunan itu dibuat untuk menggambarkan kos pengedaran dan pemasaran yang lebih tinggi bagi mempromosi jenama Kyo dan Dunhill.

 

Mengulas berkaitan peluang pasaran vape di Malaysia, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya masih tidak dapat memastikan berkaitan pelancaran produk berkenaan.

 

"Keuntungan lain yang mungkin menanti BAT datang dari pelancaran vape jenama Vuse pada masa akan datang.

 

"Bagaimanapun, terlalu awal bagi kami untuk menyatakan sumbangan kewangan vape kerana kami tidak dapat memastikan lagi bila ia akan dilancarkan, apatah lagi perincian berkaitan harga dan kos," jelas CGS-CIMB Research.

 

BAT juga memerlukan masa untuk meningkatkan bahagian pasaran vape di Malaysia.

 

CGS-CIMB Research mengambil keputusan untuk mengekalkan saranan 'tambah' saham BAT dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi bernilai RM17.48. - DagangNews.com