Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Jualan hartanah milik IOI Properties Group Bhd dijangka perlahan untuk tempoh Julai-September tahun ini berbanding RM742 juta yang direkodkan suku sebelumnya.
RHB Research berkata, pendapatan pemaju hartanah itu dijangka hanya mula meningkat bermula separuh pertama tahun hadapan apabila keadaan di pusat membeli-belah bertambah baik dan kerja-kerja pembinaan dipercepatkan.
"Walaupun kerajaan telah mengumumkan pembukaan kembali ekonomi secara berperingkat sejak awal September, keyakinan pasar masih rendah berikutan kebimbangan terhadap potensi lonjakan kes baharu COVID19 dan varian virus baharu," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah RHB Group, IOI Properties dilaporkan mengekalkan sasaran jualan bagi tahun kewangan 2022 pada RM2.3 bilion, paras yang sama seperti ketika ini berikutan keyakinan pasaran masih rendah.
"Berikutan pertemuan dengan pengurusan IOI Properties, RHB mengatakan kumpulan hartanah itu merancang untuk melancarkan projek baru bernilai kira-kira RM1 bilion di Malaysia pada 2022, yang merangkumi terutamanya hartanah bertanah kerana syarikat itu masih mempunyai pembangunan bertingkat tinggi yang belum dijual," katanya.
Firma penganalisis itu juga berkata, projek Xiamen IOI Properties mungkin akan terjejas dalam jangka pendek kerana krisis hutang China Evergrande kemungkinan akan merendahkan sentimen pembeli dan permintaan hartanah yang lebih rendah.
"Pembukaan IOI Palm City Mall di Xiamen ditangguhkan sebulan hingga akhir Oktober kerana peningkatan kes Covid-19 baharu di Fujian dan pelaksanaan semula larangan pergerakan.
"Namun, kami tetap optimis dengan pasaran antarabangsa IOI Properties di mana COVID-19 dikendalikan dengan lebih baik," katanya. -DagangNews.com