Jualan kenderaan dijangka lebih baik pada Ogos, unjuran TIV 2021 kekal 500,000 unit | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan dijangka lebih baik pada Ogos, unjuran TIV 2021 kekal 500,000 unit

X50

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Unjuran jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2021 dikekalkan sebanyak 500,000 unit.

 

CGS-CIMB Research berkata, pengekalan itu seiring dengan sasaran jualan yang diletakkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) tahun ini.

 

Jelas CGS-CIMB Research, unjuran sebanyak 500,000 unit yang diletak pihaknya itu mengambil kira jangkaan penurunan 5.6% tahun ke tahun pada 2021 disebabkan oleh penyusutan jualan kenderaan nasional dan bukan nasional, masing-masing sebanyak 3% dan 10%.

 

Dalam pada itu, MAA menjangkakan TIV pada Ogos akan mula meningkat susulan kelonggaran sekatan ekonomi termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

"Walaupun kami melihat TIV akan bertambah baik pada Ogos hingga September, kami masih menjangkakan TIV pada suku ketiga 2021 akan menguncup sebanyak 7% berbanding suku lalu, dan 41% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor automotif Malaysia.

 

Bagi rekod, TIV pada Julai 2021 meningkat sebanyak 7,086 unit berbanding hanya 1,921 unit pada Jun 2021.

 

Perkembangan positif itu disebabkan oleh sumbangan jualan dari Sabah dan Sarawak yang mana bilik pameran di kedua-dua negeri berkenaan dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Sementara itu, Kenanga Research tampil dengan analisis bagi prestasi 2022 dengan meletakkan jangkaan jualan atau TIV sebanyak 600,000 unit bagi 2022.

 

Kenanga Research berkata, jangkaan itu adalah sejajar dengan sasaran yang diletakkan oleh MAA sebanyak 605,000 unit.

 

"Pertumbuhan TIV pada 2022 akan didorong oleh pemulihan ekonomi selaras dengan perkembangan imuniti kelompok yang dicapai sekali gus menghidupkan permintaan kenderaan penumpang khususnya kenderaan nasional," jelas Kenanga Research lagi. - DagangNews.com