Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG diadakan selama 4 bulan, bermula 3 September 2022 | DagangNews Skip to main content

Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG diadakan selama 4 bulan, bermula 3 September 2022

PUTRAJAYA 1 Sept - Program penjualan barangan di 17 platform dalam talian antarabangsa dan tempatan, Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG), akan diadakan selama empat bulan bermula 3 September hingga Disember 2022.

 

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata program dengan peruntukan RM300 juta itu membolehkan rakyat berbelanja barangan harian melalui dalam talian seperti produk keperluan asas, makanan dan perkakasan rumah pada harga yang berpatutan. 

 

“Melalui program ini, kerajaan berikan insentif seperti potongan harga, baucar diskaun, rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat bagi mendorong lebih banyak pembelian secara dalam talian daripada perniagaan dan produk tempatan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas JihadTangani Inflasi, hari ini.

 

JMKM@DE DAGANG boleh diakses menerusi platform  antaranya Fave, Food Panda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee, TikTok, Bizapp, Jocom, Kumoten, Maybank, InstantStore dan Wonderfly.

 

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata program itu hanya boleh dinikmati oleh warganegara Malaysia dan mereka akan mendapat potongan diskaun sehingga 20% untuk setiap transaksi. 

 

“Pembeli yang menyertai program itu perlu masukkan maklumat kad pengenalan dan ia akan dihadkan kepada satu transaksi berjumlah RM500,” katanya.

 

Annuar berkata JMKM@DE DAGANG dijangka memberi manfaat kepada 100,000 peniaga tempatan selain dijangka menjana sebanyak lima juta transaksi dalam talian, lapor Bernama.

 

Program JMKM@DE DAGANG juga akan membantu usahawan  yang mempunyai produk barangan buatan dan jenama Malaysia yang berpotensi dieskport serta produk pelancongan dan kraf.

 

“Ia juga akan menawarkan perkhidmatan untuk sektor pelancongan seperti tempahan hotel. Kita ingin galakkan perkembangan industri pelancongan kerana industri ini boleh membantu pulihkan ekonomi negara,” katanya.

 

Ditanya adakah peruntukan berjumlah RM300 juta itu akan ditambah sekiranya habis sebelum tarikh tamat program itu, Annuar berkata perkara itu akan diteliti dengan Kementerian Kewangan. - DagangNews.com