Jualan vaksin bantu lonjak prospek Pharmaniaga - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Jualan vaksin bantu lonjak prospek Pharmaniaga - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Jualan vaksin COVID-19 Sinovac dijangka terus memacu prestasi kewangan Pharmaniaga yang lebih kukuh bagi separuh kedua 2021. 

 

Ini berdasarkan prestasinya bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 yang menyaksikan untung bersih syarikat farmaseutikal ini melonjak kepada RM13.7 juta daripada RM9.98 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

 

Pendapatan pula menokok 82% kepada RM1.2 bilion berbanding tahun lalu disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi dari semua segmen termasuk perniagaan di Indonesia.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Syazwan Aiman Sobri berkata, meskipun sumbangan menerusi segmen perniagaan konsesi dijangka menurun pada akhir tahun ini, tetapi jualan vaksin pula akan terus meningkat. 

 

Katanya, ini disebabkan sebahagian kontrak pembekalan 12 juta dos vaksin kepada Kementerian Kesihatan (MOH) pada Julai bagi mempercepatkan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan dan selesai membekalkan lagi 12 juta dos pada akhir Julai. 

 

"Selain itu, Pharmaniaga juga akan mula membekalkan dos vaksin kepada kerajaan negeri dan sektor swasta, yang mana akan menjana margin lebih tinggi berbanding MOH.

 

"Pada masa sama, mungkin terdapat pesanan lebih tinggi daripada pengembangan program imunisasi membabitkan kanak-kanak, kemungkinan keperluan dos ketiga atau jualan eksport," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Pharmaniaga dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.06. Ia juga tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan Pharmaniaga.

 

Firma itu turut mengambil kira prospek pendapatan yang kukuh menerusi segmen vaksin COVID-19 dan keupayaan pengeluaran vaksin dalam tempoh jangka masa panjang.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, dengan keupayaan Pharmaniaga untuk mengeluarkan vaksin secara fill-finish, ia memiliki kelebihan dan keupayaan untuk terus membekalkan vaksin kepada kerajaan negeri dan persekutuan. 

 

Ini termasuk juga sektor swasta dalam usaha memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan cepat, tambahnya.

 

Selain itu, katanya syarikat juga merancang untuk memanfaatkan vaksin COVID-19 dan sektor perniagaan halal mereka dengan menubuhkan kemudahan vaksin halal pertama di dunia yang dijangka mula beroperasi pada 2024.

 

"Kami berpendapat, dengan pengembangan berterusan perniagaan pembuatan vaksin dan permintaan bagi produk halal farmaseutikal, prospek jangka panjang Pharmaniaga dalam semua segmen perniagaan kekal menyakinkan," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Pharmaniaga dengan harga sasaran tidak berubah pada 98 sen. 

 

"Pharmaniaga menjadi pilihan utama kami kerana ia mempamerkan prestasi yang kukuh dalam  segmen pembekalan vaksin dan ubat-ubatan beserta kemudahan yang canggih," tambahnya. 

 

Setakat 10.45 pagi ini, saham Pharmaniaga susut 1 sen kepada 91.5 sen dengan 6.47 juta saham diniagakan. - DagangNews.com