KUALA LUMPUR 19 Nov - Untung bersih Pharmaniaga Bhd. mencanak naik kepada RM49.84 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2021 berbanding RM1.44 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini disokong oleh pendapatan yang lebih tinggi pada tempoh berkenaan melonjak kepada RM2.12 bilion daripada tempoh sama sebelumnya sebanyak RM624.8 juta.
Bagi tempoh kumulatif 9 bulan, untung bersih Pharmaniaga meningkat 156.3% kepada RM86.68 juta berbanding RM33.82 juta tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 96% kepada RM4.1 bilion daripada RM2.09 bilion.
Syarikat farmaseutikal ini mengisytiharkan dividen interim sebanyak 2 sen sesaham yang akan dibayar 29 Disember 2021.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Pharmaniaga berkata, perniagaan bukan konsesi merupakan pemacu utama berikutan jualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga sektor swasta.
Katanya, setakat ini, ia menyaksikan kumpulan melengkapkan penghantaran sebanyak 20.4 juta dos kepada KKM manakala 2 juta dos lagi diagihkan kepada sektor swasta.
"Segmen logistik dan pengedaran pula merekodkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM33 juta bagi tempoh dikaji, berbanding RM42 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
"Terdapat lonjakan permintaan untuk ventilator dan peralatan pelindung diri (PPE) dalam tempoh sebelumnya semasa tercetusnya pandemik COVID-19 pada peringkat awal.
"Bagaimanapun, permintaan PPE ini kembali normal dalam tempoh semasa," katanya hari ini.
Mengenai prospek kumpulan, Pharmaniaga berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menyaksikan hasil membanggakan apabila dapat mengurangkan kes positif sejak Julai 2021.
Katanya, ia telah menyumbang sebanyak 20.4 juta dos vaksin Sinovac kepada PICK dan kira-kira 2 juta dos kepada pasaran swasta, meliputi hampir 40% daripada populasi dewasa di Malaysia.
"Bagi segmen perniagaan logistik dan pengedaran, kumpulan akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai rakan kerjasama logistik KKM sehingga 30 November 2024.
"Beberapa siri perbincangan dan rundingan untuk pembaharuan konsesi telah dijalankan dan hasilnya sangat positif," jelasnya. - DagangNews.com