Jumlah dagangan Malaysia cecah RM232.7 bilion pada Mac 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah dagangan Malaysia cecah RM232.7 bilion pada Mac 2023 - DOSM

Gambar Westports Holdings
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 April - Jumlah dagangan Malaysia pada Mac 2023 bernilai RM232.7 bilion, berkurangan sebanyak 1.6% tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai eksport susut 1.4% tahun ke tahun kepada RM129.7 bilion manakala import turun 1.8% kepada RM103 bilion.

 

Beliau berkata, penurunan eksport dipengaruhi eksport lebih rendah kebanyakan negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (-RM775.6 juta), Kedah (-RM730.3 juta), Sabah (-RM651.7 juta), Pahang (-RM637.9 juta), Terengganu (-RM405.1 juta), Perak (-RM366 juta), Johor (-RM242.9 juta) dan Kelantan (-RM71 juta).

 

Bagaimanapun katanya, nilai eksport meningkat di Sarawak sebanyak RM740.6 juta, Negeri Sembilan (RM369.3 juta), Wilayah Persekutuan Labuan (RM293.6 juta), Pulau Pinang (RM279.6 juta), Melaka (RM165.7 juta), Selangor (RM37.8 juta) dan Perlis (RM6.2 juta).

 

"Prestasi import mengikut negeri pada Mac 2023 juga menurun sebanyak 1.8% kepada RM1.9 bilion berbanding bulan sama tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, penurunan disebabkan import lebih rendah kebanyakan negeri iaitu Melaka (-RM4.1 bilion), Negeri Sembilan (-RM877.6 juta), Pulau Pinang (-RM701.5 juta), Kedah (-RM559.7 juta) dan Pahang (-RM450.3 juta), Selangor (-RM72.1 juta), Labuan (-RM18.9 juta) dan Sabah (-RM16.7 juta).

 

Bagaimanapun katanya, nilai import meningkat di Johor sebanyak RM3.8 bilion, Kuala Lumpur (RM619.8 juta), Sarawak (RM262.4 juta), Terengganu (RM192 juta), Perlis (RM52 juta), Kelantan (RM26.7 juta) dan Perak (RM1.1 juta).

 

 

dosm

 

 

Katanya, Pulau Pinang, Johor dan Selangor kekal sebagai pengeksport utama dengan menyumbang sebanyak 70.2% daripada jumlah eksport negara pada Mac.

 

"Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan sebanyak 31.9%, diikuti Johor (19.9%), Selangor (18.4%), Sarawak (8.2%) dan Kuala Lumpur (3.5%).

 

Tambahnya, bagi import pula, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 25.6% diikuti Johor (23.4%), Pulau Pinang (22.2%), Kuala Lumpur (7.5%) dan Kedah (5.2%). - DagangNews.com