Jumlah dagangan Malaysia kembali positif pada Januari 2024, peningkatan dua digit 13.3 peratus - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah dagangan Malaysia kembali positif pada Januari 2024, peningkatan dua digit 13.3 peratus - DOSM

Pertumbuhan sederhana ekonomi dunia serta perubahan permintaan terhadap barangan Malaysia dari luar negara, mendorong kepada nilai perdagangan yang lebih baik./ Gambar hiasan FB Anwar Ibrahim
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Feb - Jumlah dagangan Malaysia kembali positif pada Januari 2024, mencatatkan peningkatan dua digit 13.3% kepada RM234.7 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan eksport (+8.7%) kepada RM122.4 bilion dan import (+18.8%) kepada RM112.3 bilion.

 

Jelas DOSM, pertumbuhan sederhana ekonomi dunia serta perubahan permintaan terhadap barangan Malaysia dari luar negara, mendorong kepada nilai perdagangan yang lebih baik, disumbangkan oleh kedua-dua eksport dan import. 

 

"Sebaliknya, imbangan dagangan jatuh 44.2 peratus kepada RM10.1 bilion pada Januari 2024," kata DOSM seperti dilapor dalam penerbitan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Januari 2024. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin brkata, prestasi eksport Malaysia meningkat pada Januari 2024 selaras dengan kenaikan eksport domestik dan eksport semula. 

 

Katanya, eksport domestik bernilai RM94.7 bilion, menyumbang 77.4 peratus kepada jumlah eksport meningkat 10.1 peratus dan eksport semula berjumlah RM27.7 bilion, meningkat 4.1 peratus berbanding Januari 2023.

 

Jelas beliau, import pada Januari 2024 bernilai RM112.3 bilion, meningkat 18.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas. 

 

"Sementara itu, lebihan dagangan dengan jumlah RM10.1 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-45 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Berbanding Disember 2023, prestasi eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 3.4 peratus, 5.3 peratus dan 4.3 peratus. 

 

"Imbangan dagangan pula mencatatkan penguncupan 13.8 peratus,” katanya dalam kenyataan berhubung penerbitan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malayia oleh DOSM.

 

DOSM

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perbelanjaan pengguna, pemulihan eksport dan projek prasarana antara faktor pertumbuhan ekonomi 2024 diunjur 4.4%

 

Kata Dr Mohd Uzir, melihat dari sudut kumpulan barangan, 179 daripada 259 kumpulan eksport dan 197 daripada 259 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Beliau menjelaskan bahawa eksport yang lebih tinggi disumbangkan oleh kenaikan terutamanya ke Indonesia (+RM2.1 bilion) diikuti oleh Vietnam (+RM2.1 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.4 bilion), Taiwan (+RM1.3 bilion) dan Australia (+RM1.3 bilion). 

 

Selain itu, import yang lebih tinggi pula disumbangkan terutamanya dari Singapura (+RM5.5 bilion) diikuti oleh China (+RM3.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.0 bilion), Taiwan (+RM1.2 bilion) dan Brazil (+ RM1.1 bilion).

 

Katanya, kenaikan ini adalah sejajar dengan peningkatan produk petroleum (+RM2.9 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.4 bilion); dan produk besi & keluli (+RM1.4 bilion). 

 

"Pada masa yang sama, peningkatan dalam import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM4.4 bilion); produk petroleum (+RM2.6 bilion) dan jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.7 bilion)," jelas Ketua Pengarah DOSM itu.

 

Menurut Dr Mohd Uzir, pertambahan import mengikut Penggunaan Akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan penggunaan dan barangan perantaraan. 

 

"Import barangan modal bernilai RM13.7 bilion, meningkat 41.8 peratus berbanding Januari 2023, mewakili 12.2 peratus daripada jumlah import. 

 

"Barang penggunaan (9.2% daripada jumlah import), meningkat 25.4 peratus daripada RM8.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM10.3 bilion. 

 

"Barangan perantaraan (52.3% daripada jumlah import), bernilai RM58.8 bilion, mencatatkan peningkatan 21.4 peratus atau RM10.3 bilion,” katanya.- DagangNews.com