Jumlah kargo udara syarikat penerbangan Asia Pasifik catat peningkatan 7.6% pada Oktober 2023 - IATA | DagangNews Skip to main content

Jumlah kargo udara syarikat penerbangan Asia Pasifik catat peningkatan 7.6% pada Oktober 2023 - IATA

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 6 Dis - Jumlah kargo udara untuk syarikat penerbangan Asia Pasifik naik 7.6% pada Oktober 2023 berbanding bulan yang sama pada 2022, dengan syarikat penerbangan di rantau itu mendapat manfaat daripada pertumbuhan berterusan dalam kargo tan bagi setiap  kilometer (CTK) antarabangsa di tiga laluan perdagangan utama.

 

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengeluarkan data untuk pasaran kargo udara global pada Oktober 2023, menunjukkan bulan ketiga berturut-turut pertumbuhan tahun ke tahun dengan permintaan global CTK meningkat sebanyak 3.8% pada Oktober 2023 berbanding Oktober 2022.

 

Menurut IATA dalam kenyataan, tiga laluan perdagangan utama dengan pertumbuhan CTK tertinggi ialah Afrika-Asia (+16.7%, pertumbuhan tahunan tertinggi sejak Mei), Timur Tengah-Asia (+10.3%) dan Eropah-Asia (+8.5%).

 

"Kapasiti yang boleh didapati untuk syarikat penerbangan di rantau ini meningkat sebanyak 30% berbanding Oktober 2022," katanya. 

 

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, pertumbuhan yang lebih kukuh meletakkan kargo udara di landasan untuk mengakhiri 2023 dengan lebih kukuh daripada permulaan tahun ini.

 

Beliau berkata, permintaan yang pulih, hasil yang kukuh dan perdagangan yang meningkat adalah berita baik, lapor Bernama.

 

"Bagaimanapun dengan permintaan yang masih 2.4% di bawah paras sebelum pandemik dan ketidakpastian mengenai trajektori ekonomi global, keyakinan perlu diimbangi dengan berhati-hati.

 

"Sungguhpun begitu, musim puncak yang kukuh secara berterusan pada akhir tahun sudah tentu akan membantu sektor itu untuk mendepani apa jua yang dihadapi oleh ekonomi global pada 2024," katanya. - DagangNews.com