Jumlah pekerjaan tidak formal melonjak ke paras tertinggi, Maybank IB unjur kadar pengangguran 2024 stabil pada paras 3.4% | DagangNews Skip to main content

Jumlah pekerjaan tidak formal melonjak ke paras tertinggi, Maybank IB unjur kadar pengangguran 2024 stabil pada paras 3.4%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Maybank IB mengunjurkan kadar pengangguran 2024 stabil pada 3.4% didorong peningkatan jumlah pekerjaan dalam semua sektor selain pekerjaan tidak formal melonjak ke paras tertinggi.

 

Katanya, memandangkan kadar pengangguran bagi tempoh 11 bulan 2023 susut kepada 3.4% dan kemungkinan kadar pengangguran penuh bagi tahun itu adalah sebanyak 3.4% lebih rendah berbanding unjuran firma itu sebanyak 3.5%.

 

Pertumbuhan guna tenaga dilihat terus melepasi pertumbuhan tenaga kerja dan bilangan penganggur menyusut sebanyak 5.3% dari tahun ke tahun dan 0.3% dari bulan ke bulan.

 

"Pertumbuhan pekerjaan pada Nov 2023 terus berkembang dalam sektor perkhidmatan khususnya dalam maklumat & komunikasi, makanan & minuman dan aktiviti pengangkutan & penyimpanan serta sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan & kuari walaupun pekerjaan dalam sektor pertanian menurun.

 

"Berdasarkan statistik pembuatan bulanan terkini setakat Oktober 2023, terdapat peningkatan dalam pertumbuhan guna tenaga pembuatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran November 2023 turun 3.3 peratus, kembali ke paras prapandemik- DOSM

 

Terdahulu, prestasi tenaga buruh negara menunjukkan peningkatan pada November 2023, mengisyaratkan pertumbuhan positif ekonomi semasa dengan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus menurun.

 

Bilangan tenaga kerja terus mencatatkan peningkatan pada November 2023, naik sebanyak 0.2% bulan-ke-bulan kepada 17 juta orang​.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengangguran dalam kalangan belia susut kepada 10.6% pada November 2023 walaupun berada dalam julat 10.6% hingga 10.8% sejak Ogos 2023 tetapi masih melebihi paras terendah pra pandemik sebanyak 9.9% pada Disember 2019.

 

"Pekerjaan tidak forma seperti bekerja sendiri (mereka yang berpendapatan harian seperti peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil serta pekerja gig) meningkat sejak Januari 2021 dan mencapai puncak baharu pada November 2023 sebagai pertumbuhan dalam pekerjaan tidak formal, mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga," katanya.  - DagangNews.com