Jumlah PKS baharu melebihi entiti perniagaan berhenti - Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

Jumlah PKS baharu melebihi entiti perniagaan berhenti - Wan Junaidi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang baharu berdaftar melebihi daripada angka entiti perniagaan sektor tersebut yang menutup operasi disebabkan oleh penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Ini adalah berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) antara Mac hingga Oktober 2020, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, sebanyak 31,190 entiti perniagaan yang memfailkan pemberhentian melibatkan semua jenis perniagaan. 

Pada tempoh sama, SSM turut mencatatkan sejumlah 281,781 perniagaan baharu yang mendaftar, jelasnya.

“SSM juga mengambil inisiatif untuk membatalkan syarikat pasif dengan menghantar notis di bawah seksyen 551 Akta Syarikat 2016 kepada 35,944 syarikat. 

“Sejumlah besar entiti perniagaan yang baharu berdaftar terdiri daripada pemilik tunggal dan perkongsian (89.3%), diikuti oleh syarikat-syarikat (9.8%) dan Perkongsian Liabiliti Terhad (0.8%).

“Tidak dinafikan impak penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP menjejaskan perniagaan terutamanya PKS,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini. 

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan sebuah media yang menyatakan sebanyak 100,000 PKS telah menutup operasi sejak PKP dilaksanakan pada Mac lalu.

Laporan itu memetik kenyataan Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang yang mendakwa jumlah itu adalah tiga kali ganda daripada statistik disediakan oleh SSM di mana sebanyak 32,469 PKS tutup operasi antara Mac dan September 2020.

Wan Junaidi berkata, berdasarkan kaji selidik COVID-19 pada Mei hingga Ogos 2020 oleh SME Corp. Malaysia dan MEDAC, masing-masing menunjukkan peratusan perniagaan yang menutup operasi adalah lebih rendah pada Ogos iaitu 1.4% berbanding Mei (1.6%).

Tambah Wan Junaidi, memandangkan krisis penularan itu tidak terjangka, satu-satunya pilihan yang PKS ada menerusi adaptasi norma baharu dan meneroka peluang dalam kesukaran. 

“PKP sebenarnya telah mempercepat adaptasi e-perdagangan oleh PKS yang sebelum ini menangguhkan kepelbagaian saluran jualan mereka, ia juga menggalakkan rakyat untuk menggunakan pelbagai cara pendigitalan untuk bekerja dari rumah dan berkomunikasi secara maya. 

“PKP juga menggalakkan syarikat multinasional dan besar di Malaysia untuk menggantikan bahagian serta komponen import dengan sumber material tempatan berikutan bekalan luar negara terjejas,” ujar Wan Junaidi. 

Kata beliau, sukar untuk mencari satu penyelesaian yang sesuai untuk semua memandangkan PKS merupakan kumpulan berlainan yang mempunyai pelbagai saiz, sektor, peringkat kitaran perniagaan dan sebagainya. 

“PKS membentuk sebanyak 98.5% (907,065) penubuhan perniagaan di Malaysia. 

"Oleh itu kerajaan telah lama menyedari keperluan kerangka mantap untuk pembangunan PKS bagi mencapai hasil optimum daripada pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi,” kata Wan Junaidi. 

Usaha itu ditonjolkan menerusi penubuhan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan yang kini dikenali sebagai Majlis Usahawan dan Pembangunan PKS Kebangsaan (NESDC). 

Menurut Wan Junaidi, pada tahun ini, sebanyak 211 program keusahawanan dan pembangunan PKS dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM12.9 bilion. - DagangNews.com