Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Juwai IQI, kumpulan teknologi hartanah yang menyediakan penyelesaian pemasaran dan penjualan komprehensif mengumumkan telah menyelesaikan 22,000 transaksi pada tiga suku pertama tahun 2021.
Pengasas Bersama dan Pengerusi Eksekutif Juwai IQI, Georg Chmiel berkata, jumlah itu mewakili 117% pertumbuhan dalam jumlah transaksi dalam tempoh sama pada 2020.
"Prestasi ini mencerminkan bahawa kami terus mengalami pertumbuhan yang pesat biarpun dalam situasi pandemik COVID-19. Syarikat terus merekodkan keuntungan sejak Julai 2020.
"Walaupun tahun ini kami telah memperluas rangkaian kami ke Mongolia dan Portugal, sebahagian besar pertumbuhan penjualan adalah organik dan didorong oleh peningkatan produktiviti hasil daripada teknologi dan pengembangan rangkaian ejen," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kejayaan itu juga adalah bahawa model Juwai IQI bersesuaian dengan keadaan semasa.
"Kami secara beransur-ansur menggantikan portal iklan dan model agensi tradisional. Model baharu kami mengintegrasikan aplikasi super kami, rangkaian ejen Global IQI dan pasaran hartanah dalam talian, Juwai.com dan Juwai.asia. I
"Ini memberikan penjual hartanah satu penyelesaian pemasaran dan penjualan dari hujung ke hujung," katanya.
Sementara itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Kashif Ansari berkata, syarikat itu telah memulakan pelaburan agresif dalam pendigital sejak sedekad yang lalu dan akan terus mengupayakan kebolehan dan kepakaran yang dimiliki.
"Ketika Covid muncul, platform teknologi kami, Atlas, sudah memiliki keupayaan seperti lawatan maya, perjumpaan maya dan persembahan digital. Ini membolehkan kami terus bertahan di pasaran biarpun dalam keadaan sukar," katanya.
Juwai IQI mempunyai kira-kira 12.9 juta pengguna setiap bulan dengan rangkaian ejen di seluruh dunia dan beroperasi di 20 negara. -DagangNews.com