KAB bekerjasama dengan JCorp majukan tenaga lestari di Malaysia | DagangNews Skip to main content

KAB bekerjasama dengan JCorp majukan tenaga lestari di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kinergy Advancement Bhd (KAB) menerusi KAB Energy Holdings Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Johor Corp (JCorp) bagi memajukan landskap tenaga lestari di Malaysia.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, kerjasama dengan agensi pembangunan utama Johor itu merangkumi peluang membangunkan projek cekap tenaga (EE) tersuai bagi  pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE), inisiatif tenaga bersih (CE) untuk kemudahan berkaitan tenaga dan projek kejuruteraan terutamanya untuk pusat data atau kemudahan lain yang berkaitan di bawah JCorp.

 

KAB berkata, mereka akan memanfaatkan kepakarannya dalam menyediakan rumusan kecekapan tenaga, dengan tumpuan khusus bagi membangunkan sistem penyejukan untuk mengurangkan penggunaan tenaga keseluruhan pusat data dan meningkatkan keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) dengan banyak.

 

Katanya, ia akan menunjukkan keupayaan dan kecekapan kejuruteraan yang dipertingkatkan melalui pembangunan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pusat data dan/atau kemudahan berkaitan tenaga lain.

 

Selain itu, kecekapan teknikal KAB dalam rumusan RE dan CE juga akan dilanjutkan kepada inisiatif lain dalam JCorp.

 

Promosi eksport tenaga boleh diperbaharui melalui Program Akses Pihak Ketiga (TPA) atau skim tenaga boleh diperbaharui yang lain akan diteruskan untuk membekalkan RE kepada JCorp dan perniagaan berkaitan, menyokong mereka dalam memenuhi dan mencapai matlamat kemampanan.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, dengan menjadikan JCorp sebagai rakan kongsi baharu keyakinan pihaknya dalam memacu impak yang besar dan transformatif meningkat dengan ketara.

 

"Saya gembira kerana diberi kepercayaan untuk bekerjasama bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi dan alam sekitar di negara ini," katanya. 

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, kerjasama itu menandakan kemajuan ketara dalam usaha mampan kami melalui rumusan tenaga yang inovatif.

 

"Kami mengiktiraf kepentingan kritikal mencari rakan kongsi yang tepat bagi meningkatkan kecekapan aset sedia ada dan projek baharu JCorp.

 

"KAB menunjukkan keupayaannya dalam menyampaikan rumusan tenaga inovatif, dan kami yakin perkongsian strategik ini akan menyokong kami dalam mencapai matlamat kemampanan," katanya.- DagangNews.com