Pemegang saham Scanwolf luluskan cadangan mempelbagaikan perniagaan dalam aktiviti pembinaan | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham Scanwolf luluskan cadangan mempelbagaikan perniagaan dalam aktiviti pembinaan

Scanwolf yang berpengakalan di Perak terlibat dalam perniagaan reka bentuk serta pengeluaran pengekstrakan plastik serta pembangunan hartanah. -Gambar Scanwolf
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Julai - Majoriti pemegang saham Scanwolf Corporation Bhd meluluskan cadangan mempelbagaikan perniagaan dalam aktiviti pembinaan dan yang berkaitan dengan sektor tersebut.

 

Menerusi satu kenyataan media, Scanwolf berkata, ia telah memperoleh kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang berlangsung hari ini.

 

Perniagaan Kumpulan tersebut sebelum ini melibatkan reka bentuk dan pengeluaran pengekstrakan plastik serta pembangunan hartanah.

 

Menurut Scanwolf, keputusan itu disahkan oleh pemeriksa bebas Asia Securities Sdn Bhd.

 

Kumpulan itu berkata, sebagai sebahagian daripada langkah itu, Scanwolf, melalui anak syarikat milik penuhnya Scanwolf Properties Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Ratna Bina Sdn Bhd pada 28 Jun untuk pembangunan sebidang tanah di Selangor.

 

“Kerjasama ini menandakan kemasukan Scanwolf ke dalam pasaran hartanah Selangor yang berkembang maju, menekankan komitmennya untuk mengejar peluang pertumbuhan dalam sektor berpotensi tinggi.

 

“Diversifikasi dalam pembinaan dan aktiviti berkaitan sejajar dengan visi strategik Scanwolf untuk mewujudkan model perniagaan yang lebih berdaya tahan dan pelbagai,” katanya.

 

Scanwolf berkata, dengan memasuki sektor pembinaan, ia bertujuan untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan infrastruktur di Malaysia.

 

“Langkah ini dijangka menyediakan aliran pendapatan baharu dan meningkatkan kemampanan jangka panjang kumpulan,” katanya. - DagangNews.com