MNO hanya boleh berada dalam satu entiti rangkaian 5G kedua bagi jamin persaingan sihat - Kementerian Komunikasi | DagangNews Skip to main content

MNO hanya boleh berada dalam satu entiti rangkaian 5G kedua bagi jamin persaingan sihat - Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR 3 Julai - Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) hanya boleh memegang ekuiti dalam satu entiti bagi rangkaian 5G kedua di Malaysia untuk menjamin persaingan yang sihat antara kedua-dua entiti.

 

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu juga dapat menyediakan perkhidmatan 5G yang berkualiti untuk rakyat.

 

“Mengikut perjanjian yang ditandatangani oleh MNO dan Digital Nasional Bhd (DNB), mereka telah bersetuju bahawa MNO hanya boleh berada dalam satu entiti, sama ada entiti A atau entiti B dalam model dwirangkaian 5G.

 

“Selepas tempoh proses Pakej Maklumat Pemohon (AIP) tamat, sesiapa yang memenangi tender ini, mereka akan memimpin entiti B. Jika mereka yang tidak dipilih akan kekal berada di entiti A.

 

“Bagi mereka yang berada di entiti B, mereka akan menjual saham mereka dalam DNB supaya mereka akan menjadi dua entiti berbeza,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai sama ada kerajaan akan melarang syarikat telco (syarikat telekomunikasi) yang sama untuk memegang ekuiti dalam kedua-dua syarikat rangkaian 5G untuk memastikan mereka bersaing dalam memberi perkhidmatan 5G yang pantas dengan harga yang paling murah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maxis, CelcomDigi, U Mobile dan YTL Power beli 16.3% pegangan setiap satu dalam DNB, bukannya 14%, kerana TM masih belum mengambil bahagian

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan untuk memulakan proses menentu dan melantik syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua di Malaysia termasuklah mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (AIP) pada 1 Julai 2024.

 

Sebelum ini, empat MNO mengumumkan bahawa perjanjian langganan saham (SSA) dengan DNB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.) telah dimuktamadkan selepas memenuhi semua syarat dalam SSA bersyarat.

 

Pihak berkenaan iaitu YTL Power International Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd menandatangani SSA bersyarat pada 1 Disember 2023, untuk membuka laluan peralihan kepada model rangkaian dwiborong (DWN) 5G.

 

Menjawab soalan Chong mengenai status pelaksanaan 5G dwirangkaian dan pegangan ekuiti DNB yang akan dilepaskan kepada syarikat telco, Teo berkata struktur pegangan saham dalam DNB bagi setiap pelabur akan diselaraskan kepada 30 peratus (Menteri Kewangan Diperbadankan) dan 14% (setiap MNO).

 

Katanya ini selepas pihak Telekom Malaysia menyempurnakan perjanjian langganan sahamnya bersama Menteri Kewangan Diperbadankan dan DNB pada atau sebelum 21 Ogos 2024. - DagangNews.com