KAB wujudkan syarikat kerjasama dengan MRH Empire untuk sertai sektor infrastruktur telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

KAB wujudkan syarikat kerjasama dengan MRH Empire untuk sertai sektor infrastruktur telekomunikasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - Pembekal perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal, Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) menerusin anak syarikatnya, KAB Telco Sdn. Bhd. (KABTEL) mewujudkan syarikat kerjasama dengan MRH Empire Sdn. Bhd. (MRH) bagi menceburi sektor infrastruktur telekomunikasi.

 

KAB dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi perjanjian itu KABTEL memegang pemilikan syarikat sebanyak 60% manakala baki 40% adalah milik MRH dan mereka hanya akan tertumpu kepada projek berkaitan telekomunikasi di Malaysia.

 

Kerjasama domestik itu adalah yang pertama untuk KAB bagi membina dan mengendalikan menara telekomunikasi.

 

"KAB akan menggunakan kepakaran rakannya dalam industri telekomunikasi merangkumi pembekalan menara telekomunikasi, membina keupayaan gentian optik dan membangunkan Liputan Dalam Bangunan (IBC) dan Sel Kecil.

 

"MRH sudah menerima kelulusan untuk menjalankan kerja-kerja tinjauan dan membangunkan sehingga 1,342 tapak menara telekomunikasi di seluruh Malaysia Timur dan Barat.

 

"Menerusi kelulusan itu, ia secara tidak langsung memberikan hak kepada MRH untuk membina, memiliki dan mengendalikan kemudahan telekomunikasi di semua premis salah satu kementerian," katanya.

 

MRH juga memetrai Memorandun Persefahaman (MoU) bersama operator telekomunikasi tempatan untuk kerjasama perniagaan dalam bidang perhubungan digital dan pembangunan infrastruktur untuk 1,342 tapak pembinaan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pihaknya berbesar hati untuk mewujudkan jalinan kerjasama strategik untuk meluaskan pegangan mereka dalam industri telekomunikasi tempatan.

 

"Berdasarkan kepada pencapaian yang ditetapkan kerajaan dari segi keterhubungan, kami percaya kami berada pada landasan tepat untuk berkembang pesat selain menjangkakan kesemua tapak pembinaan akan siap menjelang 2025.

 

"Apabila siap sepenuhnya, ia dijangka menyediakan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM500 juta," katanya. - DagangNews.com