Kabinet setuju tubuh Majlis Pemulihan Negeri - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Kabinet setuju tubuh Majlis Pemulihan Negeri - Muhyiddin

 

KUCHING 15 Dis - Kabinet bersetuju menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri bagi mempercepat pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Beliau berkata, penubuhan itu melibatkan jawatankuasa peranan tindakan peringkat daerah untuk menilai jenis bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan negeri tanpa memerlukan pembabitan Kerajaan Persekutuan. 

 

“Kita telah buat keputusan untuk mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri, ini dipersetujui oleh Kabinet dan arahan sudah dikeluarkan supaya negerinegeri segera menubuhkan majlis ini. 

 

“Tanggungjawab  untuk  mempercepat  proses pemulihan negeri  bukan  terletak  di atas bahu Kerajaan Persekutuan sahaja.

 

''Arahan itu juga  melibatkan peranan jawatankuasa tindakan di peringkat daerah yang dipimpin pegawai daerah, jadi dia boleh bawa ke (peringkat) negeri,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negara edisi Sarawak hari ini, lapor Bernama. 

 

Muhyiddin juga berkata, sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan di peringkat Persekutuan, MPN akan meneliti dan memperhalusi perkara itu untuk tindakan susulan. 

 

Semasa sesi dialog awam itu, beliau meminta mereka yang menyuarakan cadangan kepada majlis itu menyediakan kertas atau memorandum lengkap untuk dimajukan kepada MPN.

 

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sektor pendidikan serta pembaharuan permit bekerja bagi warga asing.  - DagangNews.com