Kadar bayaran haji B40 RM12,356 seorang, M40 RM19,152 - Tabung Haji | DagangNews Skip to main content

Kadar bayaran haji B40 RM12,356 seorang, M40 RM19,152 - Tabung Haji

Surat tawaran kepada 31,600 jemaah bagi musim haji 1445H/2024M akan dikeluarkan bermula hari ini dan perlu dijawab dalam tempoh 11 hari. - Gambar Haidan

KUALA LUMPUR 19 Jun - Kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama tunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356 manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, berkata kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun ini pula meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu.

 

Tahun ini, TH memperuntukkan bantuan kewangan haji (HAFIS) sehingga 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40, manakala 42 peratus bagi M40.

 

Bagi golongan T20 pula, sebagaimana tahun lalu, jemaah dikehendaki membuat bayaran penuh iaitu RM33,300.

 

"Bakal haji kumpulan B40 akan menerima bantuan kewangan haji dan bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 dengan jumlah keseluruhan bantuan adalah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63 peratus daripada kos haji.

 

"Bayaran haji bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang. Mereka menerima bantuan kewangan haji berjumlah RM14,418 seorang atau 42 peratus dari keseluruhan kos haji," katanya, menurut laporan Berita Harian.


 

haji

 


Pada tahun lalu, kumpulan B40 menerima bantuan kewangan haji sebanyak RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada kos haji, manakala kumpulan M40 menerima bantuan sejumlah RM14,870 atau 48 peratus daripada kos haji.

 

Katanya surat tawaran kepada 31,600 jemaah bagi musim haji 1445H/2024M akan dikeluarkan bermula hari ini.

 

Beliau berkata bakal haji perlu menjawab surat tawaran terbabit dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.

 

"Walaupun berlaku kenaikan kos haji, TH tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan TH.

 

"Sejak 2001, TH telah membelanjakan sejumlah RM2.4 bilion bagi bantuan kewangan haji dan dijangka membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji kali ini," katanya pada sidang media pengumuman surat tawaran haji dan bantuan kewangan haji di Menara TH, hari ini.

 

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

 

Mengulas mengenai bakal haji yang membuat rayuan di luar giliran, Syed Hamadah berkata, mereka perlu membayar kos haji penuh melainkan bagi dua kategori iaitu rayuan sebagai mahram kepada jemaah dan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu.


 

haji

 


Sementara itu, Syed Saleh ketika mengulas isu kenaikan kos haji yang mungkin memberi impak kepada kelompok tertentu terutama B40, berkata penetapan kadar dibuat mengikut semak silang data disediakan kerajaan.

 

"Penentuan (kadar) bagi B40, M40 dan T20 ini adalah daripada semak silang dengan data daripada kerajaan.

 

"Jadi kita akan bergantung sepenuhnya kepada data ini," katanya.

 

Mengenai kenaikan kos haji, Syed Hamadah berkata, ia meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji iaitu penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan di Tanah Suci.

 

Ini turut termasuk operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah haji dan kos operasi yang lain.

 

Malah, katanya, TH turut terdedah kepada faktor di luar kawalan iaitu peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci yang terus meningkat.- DagangNews.com