Kadar eksport minyak sawit Malaysia pada Julai merosot, berpunca dari India - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Kadar eksport minyak sawit Malaysia pada Julai merosot, berpunca dari India - CGS CIMB

IMPORT yang rendah dari India telah menyebabkan kadar eksport minyak sawit Malaysia menyusut pada bulan lalu. - Sekadar gambar hiasan/ Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Kadar eksport minyak sawit Malaysia pada Julai 2021 dijangka merosot 6.4% berbanding bulan sebelumnya dan 29% berbanding Julai 2020 kepada 1.33 juta tan. 

 

Menurut ramalan CGS-CIMB Research, ini terutamanya disebabkan oleh kadar eksport minyak sawit yang rendah ke India.

 

Dalam nota kajian berbeza oleh firma penyelidikan itu sebelum ini, India mengurangkan pengimportan minyak sawit ke dalam negara susulan penguatkuasaan perintah berkurung akibat kes COVID-19 yang melonjak tinggi. 

 

“Minyak sawit mungkin dilihat lebih menarik kerana lebih murah berbanding minyak kacang soya, di mana bernilai AS$237 setiap tan pada 29 Julai berbanding purata harga lima tahun kira-kira AS$122 setiap tan. 

 

“Namun, ini sebahagiannya terjejas akibat kebimbangan permintaan yang lebih lemah kerana peningkatan kes COVID-19 baharu di beberapa buah negara, dan isu mampu milik kerana harga minyak yang boleh dimakan ketika ini tinggi,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

Bagi bulan yang sama, purata harga minyak sawit mentah (MSM) telah meningkat sebanyak 7.7% bagi perbandingan bulan ke bulan (m-o-m) dan 64% untuk perbandingan tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM4,128 setiap tan pada Julai 2021. 

 

Kebimbangan terhadap bekalan minyak sawit akibat kekurangan tenaga buruh dan minyak masak lain, telah mengurangkan impak levi eksport di Indonesia yang lebih rendah. 

 

Firma itu mengunjurkan harga MSM akan kekal kukuh dalam julat RM3,500 hingga RM4,000 setiap tan pada Ogos 2021 kerana inventori sawit di Malaysia mungkin mengambil masa untuk dibina semula serta isu kekurangan pekerja tidak dapat diselesaikan sehingga kes COVID-19 berjaya dibendung.

 

CGS-CIMB menjangkakan terdapat penyusutan 5.5% output MSM kepada 1.5 juta tan pada Julai berbanding bulan sebelumnya, dan ini berbeza dengan trend pada 10 tahun lalu yang sepatutnya menunjukkan output pada bulan berkenaan meningkat 9% m-o-m.

 

Data itu menunjukkan terdapat isu kekurangan tenaga buruh asing yang teruk dihadapi oleh peladang Malaysia, selain pokok semakin berusia ekoran penanaman semula perlahan, kadar tanaman baharu lebih perlahan dan isu pergerakan yang terhad telah menjejaskan estet dan kilang-kilang. - DagangNews.com