Kadar faedah AS dijangka kekal - MIDF  | DagangNews Skip to main content

Kadar faedah AS dijangka kekal - MIDF 

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedah pada 0 hingg 0.25% seperti sudah dijangka dengan mengambil kira persekitaran pandemik COVID-19 yang masih berterusan. 

 

MIDF Research berkata, kadar faedah dalam julat berkenaan dilihat akomodatif sehingga ekonomi mencapai pemulihan terutama pasaran kerja dapat mencapai maksimum pengambilan pekerjaan dan menunjukkan perkembangan dari segi kestabilan harga. 

 

Jelasnya, kemudahan dasar monetari dan fiskal amat diperlukan sebagai penampan kepada ekonomi yang rapuh sementara menanti agihan vaksin COVID-19. 

 

"Tambahan pula, untuk melihat keberkesanan vaksin ia memerlukan tempoh masa tertentu. 

 

"Bagaimanapun, kami percaya pemulihan ekonomi secara menyeluruh masih satu perjalanan yang panjang," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Rizab Persekutuan AS mengekalkan pendirian tegasnya di sebalik kemajuan yang dicapai dalam vaksin COVID-19 memandangkan jawatankuasa yang bermesyuarat menyasarkan untuk mencapai pengambilan pekerjaan maksimum berdasarkan penilaian dan kadar inflasi pada 2% dalam jangka masa panjang.

 

Prestasi kedua-dua indikator itu semakin menyederhana sejak beberapa bulan lalu ekoran meningkatnya cabaran daripada pandemik COVID-19. 

 

Penggajian bagi sektor bukan pertanian di AS menurun kepada 140,000 pada Disember 2020, melangkaui jangkaan pasaran dengan peningkatan 71,000 dan ia merupakan kejatuhan pertama sejak pasaran pekerjaan kembali pulih pada Mei selepas 20.8 juta orang pada April lalu.  

 

Kadar inflasi AS pula berlegar sekitar 1.2 hingga 1.4% sejak 5 bulan lalu ekoran permintaan lemah dan harga minyak rendah. 

 

Meskipun vaksin mampu menggerakkan semula ekonomi AS bangkit daripada krisis tetapi kes jangkitan akibat wabak itu juga masih kekal tinggi. 

 

MIDF Research melihat prospek pertumbuhan bagi 2021 bagi lagi samar-samar memandangkan wabak itu masih sukar dikawal dan kesediaan vaksin juga belum diperluaskan.

 

"Sehubungan itu, kami berpendapat, Rizab Persekutuan AS akan mengekalkan kadar faedah itu pada paras rendah tahun ini, yang mana ia mengunjurkan kadar itu kekal pada paras semasa sehingga 2023," katanya. - DagangNews.com