KUALA LUMPUR 3 Mac - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya hari ini mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75%.
Menurut bank pusat, MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif manakala langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus menyokong kegiatan ekonomi.
"Dalam keadaan semasa yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
BNM berkata, ekonomi global terus pulih, meskipun kegiatan ekonomi sederhana sedikit disebabkan oleh penularan semula COVID-19 yang didorong oleh varian Omicron, trajektori pemulihan secara keseluruhan kekal pada landasannya.
Inflasi kekal tinggi dalam banyak ekonomi disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan.
Pada masa hadapan, katanya, lebih banyak negara akan beralih kepada pengurusan COVID-19 secara endemik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global.
"Bagaimanapun, perkembangan berhubung dengan konflik ketenteraan di Ukraine telah muncul sebagai risiko utama terhadap prospek pertumbuhan global dan perdagangan, harga komoditi dan keadaan pasaran kewangan.
"Prospek pertumbuhan global juga akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung COVID-19, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan ketidaktentuan pasaran kewangan yang ketara dalam keadaan berlakunya pelarasan dasar monetari oleh ekonomi utama," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, BNM berkata, walaupun dengan persekitaran yang mencabar, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.1% pada 2021.
Malah, pemulihan pertumbuhan akan menjadi kukuh tahun ini, dipacu oleh pengembangan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang terus bersasar.
Jangkaan pembukaan semula sempadan antarabangsa juga akan memberikan sokongan seterusnya kepada pemulihan ekonomi.
"Kesan terhadap ekonomi akibat peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini yang disebabkan oleh varian Omicron dijangka kurang teruk berbanding dengan gelombang sebelum ini berikutan tiada sekatan yang ketat.
"Prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik.
"Hal ini termasuk pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan perkembangan berhubung dengan COVID-19," katanya.
Menurutnya lagi, inflasi keseluruhan pada 2022 diunjur kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api semakin luput.
Katanya, inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kembali ke paras wajar kepada sekitar purata jangka panjangnya apabila kegiatan ekonomi terus meningkat dalam keadaan persekitaran kos yang tinggi.
"Bagaimanapun, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi yang lebih tinggi dapat dibendung sebahagiannya oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.
"Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan," jelas bank pusat. - DagangNews.com