Kadar pengangguran 2021 pada 4.6% tertinggi sejak 1993 | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran 2021 pada 4.6% tertinggi sejak 1993

KUALA LUMPUR 8 Feb - Pasaran buruh negara semakin pulih pada Disember 2021 dengan mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 4.2% dengan 687,600 penganggur dengan guna tenaga terus meningkat.

 

Menjelang akhir 2021, ia menyaksikan bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 31,500 orang atau 0.2% kepada 16.34 juta orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Disember 2021 meningkat kepada 69%, iaitu tertinggi yang direkodkan sejak Januari 2020. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, situasi itu memberi isyarat bahawa orang ramai semakin optimis terhadap pasaran buruh, sekali gus mendorong mereka untuk mencari pekerjaan.

 

Di Malaysia, katanya, kesan daripada pandemik COVID-19 menyebabkan pemulihan ekonomi sedikit terganggu dan ia turut menjejaskan pemulihan semula keseluruhan pasaran buruh memandangkan pemulihannya berkadar terus dengan prestasi ekonomi. 

 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

 

 

"Dengan semua negeri berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Januari 2022 membolehkan aktiviti perniagaan dan sosial beroperasi pada kapasiti penuh. 

 

"Tambahan pula, pembukaan sesi persekolahan pada 9 Januari 2022 dijangka memberi lebih banyak impak positif terhadap aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan. 

 

"Lebih banyak aktiviti perjalanan di dalam dan luar negara juga dilihat pada bulan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menurut beliau, perkembangan positif itu memberi isyarat bahawa pasaran buruh dijangka akan terus bertambah baik pada bulan-bulan akan datang, namun tidak mengambil kira cabaran varian baharu dan lebih berbahaya. 

 

"Di samping itu, krisis kesihatan Malaysia juga dilihat mencabar dengan purata bilangan kes harian yang meningkat. 

 

"Bagaimanapun, kadar vaksinasi lengkap penduduk Malaysia naik kepada 78.8% manakala golongan dewasa meningkat kepada 98% sehingga 7 Februari 2022," tambahnya.

 

Pada Disember 2021, penduduk bekerja terus meningkat, dengan peningkatan marginal sebanyak 0.2% bulan ke bulan kepada 15.65 juta orang dari 15.61 juta orang pada November.

 

Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga mencatatkan sedikit peningkatan kepada 66.1%. 

 

Mohd Uzir berkata, sepanjang 2021, pasaran buruh Malaysia kekal dalam situasi mencabar berikutan krisis kesihatan yang berpanjangan.

 

Katanya, berdasarkan data purata bulanan, KPTB pada 2021 meningkat 0.2 mata peratus kepada 68.6 peratus berbanding 68.4 peratus pada 2020.

 

"Ini menyaksikan kadar pengangguran pada 2021 naik kepada 4.6% berbanding 4.5% pada 2020, sekali gus menjadikan kadar pengangguran tertinggi sejak 1993," jelasnya. - DagangNews.com