KUALA LUMPUR 9 Ogos - MIDF Research mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia kekal stabil pada paras 3.3% sepanjang tahun ini.
Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama 2024, purata kadar pengangguran berada pada 3.3% susut sedikit daripada 3.4% pada tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, tenaga buruh dan tahap guna tenaga masing-masing meningkat sebanyak 1.7% (2023: +2%) dan 1.9% (2023: 2.4%).
"Pasaran tenaga buruh Malaysia dijangka terus kukuh pada 2024, disokong momentum positif yang mampan dalam ekonomi domestik dan pemulihan berterusan dalam perdagangan luar.
"Jangkaan kehadiran semula pekerja bukan warganegara dijangka meningkatkan lagi jumlah pekerjaan keseluruhan, membantu mengekalkan kadar pengangguran pada 3.3%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran Jun 2024 kekal 3.3%, Kedah, Selangor terendah 2Q 2024 -DOSM
Terdahulu, bilangan penganggur pada Jun 2024 terus menurun kepada 565,300 orang berbanding Mei 2024, 566,100 orang.
Kedudukan tenaga buruh negara kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan sedikit peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur terus menurun berikutan perkembangan kedudukan ekonomi.
Bilangan tenaga buruh terus meningkat pada bulan Jun 2024, dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 17.17 juta orang (Mei 2024: 17.15 juta orang), mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada bulan tersebut iaitu pada 70.4% (Mei 2024: 70.3%).
Bagaimanapun, MIDF Research berkata, risiko utama kepada pasaran tenaga buruh termasuk pemulihan perdagangan luar yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan ketara dalam harga komoditi global.- DagangNews.com