Kadar pengangguran meningkat hingga 8% jika gelombang kedua COVID-19 memburuk | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran meningkat hingga 8% jika gelombang kedua COVID-19 memburuk

Pengangguran

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kadar pengangguran di negara ini boleh meningkat kepada 6% hingga 8% sekiranya situasi gelombang kedua COVID-19 semakin memburuk.

Ambank Research berkata, trend pengangguran negara selepas ini bergantung kepada perkembangan wabak meskipun berada pada tahap stabil pada ketika ini.

"Walaupun trend pengangguran berada pada tahap stabil, ia dipengaruhi oleh risiko penurunan dalam jangka masa terdekat.

"Sekiranya gelombang kedua COVID-19 berubah menjadi semakin teruk, risiko pengangguran boleh meningkat tinggi.

"Walaupun kes asas kami menunjukkan kadar pengangguran seharusnya berada sekitar 4.7% hingga 4.9%, namun senario terburuk boleh menyebabkan peningkatan kepada 6% hingga 8%," kata Ambank Research dalam nota kajiannya hari ini.

Semalam, DagangNews.com melaporkan kadar pengangguran pada Ogos 2020 kekal 4.7% dengan bilangan penganggur sebanyak 741,600 orang.

Baca: Kadar pengangguran Ogos kekal 4.7%

Jumlah tersebut menyaksikan penurunan 3,500 orang berbanding bulan sebelumnya iaitu 745,100 orang.

Pada bulan sama, bilangan tenaga buruh meningkat 76,600 orang sekali gus merekodkan 15.90 juta orang berbanding Julai 2020.

Kedudukan tenaga buruh negara dilihat semakin pulih berikutan pembukaan semula sektor ekonomi.

Bagaimanapun, situasi semasa COVID-19 yang semakin meningkat dijangka memberi halangan pada bulan akan datang dan menjejaskan tenaga buruh yang berpotensi memasuki pasaran buruh. - DagangNews.com