Kadar pengangguran menurun kepada 4.6% pada Ogos 2021 - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran menurun kepada 4.6% pada Ogos 2021 - Jabatan Perangkaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Bilangan penganggur menyusut kepada 748,800 orang pada Ogos 2021 dengan kadar pengangguran menurun kepada 4.6% bagi tempoh berkenaan. 

 

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, kedudukan tenaga buruh semakin baik pada bulan tersebut berikutan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

 

Ini diceminkan oleh peningkatan dalam guna tenaga manakala pengangguran menurun pada bulan dikaji dengan beberapa negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN), katanya. 

 

“Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.5% bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos 2021 (Julai 2021: 15.29 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2%.

 

“Kadar pengangguran pada Ogos 2021 menurun 0.2 mata peratus kepada 4.6% berbanding Julai yang merekodkan 4.8%. Justeru, bilangan tenaga buruh terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3% kepada 16.13 juta orang pada Ogos 2021 (Julai 2021 : 16.07 orang).

 

"Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan dikaji meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4% (Julai 2021 : 68.3%)," katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia Ogos 2021.

 

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada tempoh berkenaan, kata Mohd Uzir, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.6% daripada jumlah penganggur. 

 

Kumpulan tersebut, ujar beliau, menurun sebanyak 3.7% kepada 625,700 orang berbanding 651,300 orang yang dicatatkan pada Julai lalu.

 

“Hasil positif daripada penurunan kes COVID-19 harian serta dengan peningkatan jumlah dos vaksinasi di seluruh dunia dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global.

 

“Begitu juga, indikator COVID-19 di Malaysia mula menunjukkan penurunan sementara bilangan golongan dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai kadar lebih daripada 88%, justeru membawa kepada perlalihan lebih banyak negeri ke fasa PPN seterusnya. 

 

“Prestasi ekonomi yang menggalakkan akan meningkatkan permintaan buruh termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi. Oleh itu, ekonomi dan pasaran  buruh dijangka pulih secara berperingkat pada bulan-bulan akan datang,” katanya lanjut. - DagangNews.com