Kadar pengangguran Q4 2021 terendah sejak COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran Q4 2021 terendah sejak COVID-19

PUTRAJAYA 18 Feb  - Pasaran pekerjaan pada 2021 mencatatkan pemulihan dengan jawatan dalam sektor swasta meningkat kepada 8.53 juta selepas merekodkan penurunan 2.4% pada 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran pekerjaan di negara ini memperoleh semula momentum pada suku keempat 2021 apabila lebih banyak perniagaan beroperasi dengan kapasiti guna tenaga penuh dalam waktu operasi yang lebih panjang.

 

Pada suku itu, katanya, sekolah dan institusi pendidikan dibuka dengan kemasukan pelajar secara berperingkat.

 

"Dari aspek sosial pula, penarikan semula larangan rentas negeri serta kebenaran untuk mengadakan majlis sosial dan rekreasi turut merangsang aktiviti pelancongan domestik.

 

"Perkembangan positif ini mendorong Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pulih 3.6% selepas mengalami penguncupan pada suku sebelumnya. Justeru, guna tenaga terus meningkat pada suku ini sementara permintaan buruh melonjak naik, sekali gus merekodkan kadar pengangguran paling rendah sejak pandemik melanda negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mohd Uzir bagaimanapun berkata, bilangan jawatan pada 2021 masih lebih rendah berbanding 8.66 juta jawatan yang direkodkan pada 2019 berikutan sekatan sosioekonomi yang dilaksanakan bagi membendung pandemik berpanjangan sehingga 2021.

 

"Dari segi kecekapan buruh, dengan pertumbuhan positif ekonomi sebanyak 3.1% pada 2021, produktiviti buruh bagi pekerja meningkat 1.8% daripada -5.5 peratus pada 2020 dengan merekodkan RM90,647 setiap pekerja.

 

"Susulan peningkatan yang lebih tinggi dalam jumlah jam bekerja sebanyak 5.8% kepada 33.84 bilion jam berbanding pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja turun 2.6% dengan mencatatkan RM41 bagi setiap jam," katanya.

 

Beliau berkata, dari segi penawaran buruh, didapati penyertaan pekerja yang lebih tinggi pada suku keempat 2021 yang digambarkan oleh kenaikan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 0.2% tahun ke tahun kepada 68.7%.

 

Katanya, bilangan tenaga buruh meningkat 1.3%, merekodkan 16.14 juta orang disumbangkan terutama oleh kenaikan 1.8% penduduk bekerja yang merangkumi 15.44 juta orang, lapor Berita Harian.

 

"Sebaliknya, bilangan penganggur berkurang sebanyak 8.7% kepada 694,400 orang. Ini juga adalah kali pertama pengangguran turun kepada paras bawah 700,000 sejak pandemik melanda.

 

"Berdepan dengan cabaran yang berterusan, kadar pengangguran negara susut 0.5% tahun ke tahun kepada 4.3 peratus, mencatatkan tahap terendah sejak krisis kesihatan awam," katanya. - DagangNews.com