Kadar penghunian kekal 100%, HLIB unjur AME-REIT terus catat keputusan positif pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Kadar penghunian kekal 100%, HLIB unjur AME-REIT terus catat keputusan positif pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) menjangkakan AME Real Estate Investment Trust (AME-REIT) terus mencatatkan keputusan kewangan positif pada FY24 dengan kadar penghuniannya kekal pada paras 100%.

 

Katanya, tujuh daripada 12 pajakannya, yang dijangka tamat pada FY24, telah diperbaharui manakala kumpulan itu juga berjaya mendapatkan penyewa baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpula itu menjangkakan kadar pembaharuan 100% untuk baki empat hartanahnya.

 

"Selepas penyiapan pemerolehan Plot 16 @ Indahpura, digabungkan dengan pengembalian purata sewa sebanyak 7% hingga 8% untuk pajakan baharu, AME-REIT sepatutnya dapat memberikan hasil yang baik untuk baki FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM10.8 juta pada 2QFY24, isytihar DPU 1.80 sen

 

Terdahulu, bagi separuh pertama FY24, AME REIT mencapai NPI sebanyak RM21.5 juta daripada hasil sebanyak RM23.2 juta.

 

REIT perindustrian itu mengumumkan ganjaran kepada pemegang unit dengan mengagihkan 99.8% daripada RM9.4 juta pendapatan boleh agihnya untuk 2QFY24, diterjemahkan kepada pengagihan seunit (DPU) sebanyak 1.80 sen.

 

DPU akan dibayar pada 18 Disember 2023 kepada pemegang unit yang namanya tercatat dalam rekod pendeposit AME REIT pada penutupan perniagaan pada 24 November 2023.

 

Memandangkan AME REIT telah disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 20 September 2022 , keputusan kewangan bagi suku yang sama sebelumnya meliputi tempoh dari 20 September 2022 hingga 30 September 2022 sahaja dan oleh itu tidak dapat dibandingkan.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.34 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga sasarannya adalah berdasarkan dividen FY25 seunit pada sasaran hasil sebanyak 5.1% kepada purata hasil sejarah tiga tahun yang tersebar antara REIT hartanah industri di negara ini dan hasil bon Malaysia 10 tahun. - DagangNews.com