Kadar penghunian stabil di 3 pusat beli-belah dijangka sokong pertumbuhan pendapatan CapitaLand, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kadar penghunian stabil di 3 pusat beli-belah dijangka sokong pertumbuhan pendapatan CapitaLand, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pertumbuhan pendapatan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) disokong kadar sewa dan penghunian yang stabil daripada tiga pusat beli belah.

 

Tiga pusat beli belah itu adalah Plaza Gurney (37% hasil pendapatan suku ketiga 2023) dan Plaza Queensbay di Pulau Pinang (27% hasil pendapatan suku ketiga 2023) serta Plaza East Coast di Kuantan (15 hasil pendapatan suku ketiga 2023).  

 

Katanya, penyiapan Plaza Queensbay dan dua pemerolehan hartanah perindustrian baharu dijangka memberikan pertumbuhan pendapatan positif dan berpotensi mengimbangi prestasi pusat beli-belah yang lebih lemah di Lembah Klang.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapatan FY23/FY24/FY25 kami sebanyak 9%/3%/3%, selepas melaraskan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi di Plaza Sg. Wang dan 3 Damansara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: CapitaLand catat peningkatan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM58.3 juta bagi 3QFY23

 

Terdahulu, pada 3QFY23, pendapatan boleh agih CLMT meningkat 29% kepada RM28.7 juta dengan agihan seunit (DPU) bagi suku ini mencecah 1.05 sen, menandakan kenaikan 4% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September 2023, pendapatan boleh agih berjumlah RM77.1 juta, mewakili peningkatan 20% daripada RM64.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras 3QFY23 CLMT adalah RM27.8 juta menjadikan pendapatan sembilan bulan 2023 kepada RM75.9 juta.

 

Pendapatan 3QFY23 disokong oleh sumbangan daripada Plaza Queensbay dan Valdor Logistics Hub (VLH) yang baru diperoleh dan peningkatan kadar penghunian portfolio kepada 89.6% daripada aset baharu dan penyewa baharu di 3 Damansara dan Plaza Sg. Wang.

 

"Bagi sembilan bulan tahun ini, portfolio CLMT mencatatkan pulangan sewa positif sebanyak 6.3%, disumbangkan oleh semua pusat membeli-belah runcit.

 

"Bagaimanapun, pendapatan asas telah diimbangi sebahagiannya oleh kos kewangan yang lebih tinggi terutamanya daripada pinjaman tambahan bagi membiayai sebahagian daripada pemerolehan Plaza Queensbay," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 56 sen sesaham.- DagangNews.com