Kajian PwC : 74% CEO di Malaysia jangka pertumbuhan ekonomi global merosot  | DagangNews Skip to main content

Kajian PwC : 74% CEO di Malaysia jangka pertumbuhan ekonomi global merosot 

KUALA LUMPUR 19 Jan - PricewaterhouseCoopers (PwC) dalam kaji selidiknya mendapati 74% Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Malaysia menjangkakan pertumbuhan ekonomi global akan merosot dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Malah, sentimen ini turut dikongsi oleh 73% CEO di peringkat global, menurutnya dalam Kaji Selidik CEO Global Tahunan ke-26, yang meninjau 4,410 CEO di 105 negara serta wilayah pada Oktober dan November 2022.

 

Pada masa sama, sebanyak 51% CEO Malaysia berpendapat organisasi mereka tidak akan berdaya maju dari segi ekonomi dalam satu dekad ini jika firma tetap dalam perjalanan semasa mereka.

 

Corak itu konsisten merentasi pelbagai sektor di peringkat global termasuk telekomunikasi (46%), pembuatan (43%), penjagaan kesihatan (42%) dan teknologi (41%).

 

Seperti dilapor Bernama, kaji selidik itu menyatakan di peringkat global, keyakinan CEO terhadap prospek pertumbuhan syarikat mereka sendiri juga turun mendadak sejak tahun lepas (-26%), kejatuhan terbesar sejak krisis kewangan 2008-2009 apabila penurunan 58% direkodkan.

 

Sebaliknya, CEO di negara-negara Asia Pasifik yang lebih besar agak optimistik tentang pertumbuhan domestik mereka - China (64%), India (57%) dan Indonesia (50%) (berbanding global -29%).
 

"Penekanan yang semakin meningkat terhadap kepentingan negara berbanding global mewakili pecutan trend yang sedang berlaku dengan asas-asas rantau Asia Pasifik terus disokong oleh liberalisasi perdagangan dan pasaran yang mengalu-alukan pelaburan langsung asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kesan kemelesetan ekonomi menjadi fokus terpenting bagi CEO global tahun ini, dengan inflasi (40%) dan ketidaktentuan makroekonomi (31%) mendahului risiko yang memberi beban tanggungjawab kepada CEO dalam jangka pendek, antara 12 bulan akan datang serta dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

"Selain itu, 25% CEO turut berasa terdedah secara kewangan kepada risiko konflik geopolitik manakala risiko siber (20 peratus) dan perubahan iklim (14%) telah jatuh secara relatif.

 

"Trend yang sama dapat dilihat di Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang di tengah-tengah permintaan pelanggan yang lemah dan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

 

"Inflasi (40%) merupakan ancaman utama kepada pertumbuhan, diikuti ketidaktentuan makroekonomi (29%) dan konflik geopolitik (23%)," katanya.

 

Sebagai tindak balas kepada iklim ekonomi semasa, lebih ramai CEO merancang untuk mengurangkan kos serta merangsang pertumbuhan pendapatan dengan 74% di Malaysia mahu mengurangkan kos operasi, manakala 40% akan menaikkan harga serta 63% akan mempelbagaikan penawaran produk dan perkhidmatan. 

 

Bagaimanapun, 71% daripada CEO Malaysia tidak merancang untuk mengurangkan tenaga kerja mereka  dan 83% tidak berhasrat mengurangkan pampasan, sebaliknya mereka berusaha untuk mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan jangka panjang dan isu operasi semasa. - DagangNews.com